Kanak - Kanak Didakwa Dipukul Menggunakan Senapang Patah



KANAK - kanak berasal dari Kampung Dambai, Inanam itu antara 16 penghuni Pusat Kebajikan Care Haven, dekat Kota Kinabalu

“SAYA selesa tinggal di sini daripada di rumah sendiri. Di sini, saya tidak dipukul bapa seperti di rumah," kata seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Naruto, 11.

Rumah amal itu turut menempatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Menceritakan kisah hidupnya sebelum ditempatkan di rumah itu, Naruto mendakwa, bapanya yang berusia 38 tahun sering memukulnya terutama apabila khayal akibat pengaruh dadah.

“Saya sudah tidak tahan dipukul, hampir empat tahun saya menderita dipukul oleh ayah setiap hari.”

"Dia tidak sedar perbuatannya apabila menghisap syabu ” katanya.

Kanak-kanak itu mendakwa, dia pernah dipukul menggunakan senapang patah.

"Akibatnya, kaki kanan saya cedera sehingga tempang dan sukar untuk berjalan selama dua bulan," katanya.

Naruto berkata, dia mempunyai lima lima adik-beradik. Bagaimanapun, ibunya yang sudah tidak tahan dengan tabiat buruk bapanya mengambil keputusan untuk menyerahkan empat daripada mereka ke rumah kebajikan.

Dakwanya, dia dan seorang kakaknya yang berusia 13 tahun ditempatkan di Pusat Kebajikan Care Haven, pada awal tahun lalu.

Tambah Naruto, dua lagi adiknya yang berusia tujuh dan lapan tahun pula ditempatkan di rumah kebajikan lain, pada tahun sama.

"Hanya seorang abang kami yang berusia 14 tahun tinggal bersama ibu.

"Saya ditempatkan di rumah ini ketika berusia 10 tahun.

"Selepas tiga bulan kami dimasukkan ke sini, saya mendapat tahu bahawa bapa saya sudah ditangkap polis dan kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah," katanya.

Kanak-kanak ini kelihatan begitu ceria tinggal di rumah kebajikan berkenaan meskipun terpisah daripada adik-beradik dan ibunya.

Kanak- kanak lelaki ini bukan sahaja peramah, malah aktif dalam bidang sukan di sekolah.

Naruto berkata, dia gembira tinggal di rumah berkenaan dan sudah menganggap penghuni lain sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

"Saya sudah tinggal di sini, kira-kira setahun. Jadi, biarlah saya tinggal di sini kerana saya sudah biasa," katanya.

Kanak-kanak itu mendakwa ibunya ada mengunjungi dia dan kakaknya di rumah itu untuk tempoh beberapa bulan pertama mereka ditempatkan di situ.

"Tetapi, selepas itu, dia langsung tidak datang menjenguk saya di sini

"Saya harap ibu dapat menjenguk kami di sini terutama pada cuti persekolahan," katanya.

Menurutnya, dia difahamkan, ibunya kini sibuk bekerja di pusat dobi di Inanam untuk menyara keluarga.

Ditanya mengenai masa depannya, kanak-kanak ini berkata, dia mahu belajar bersungguh- sungguh demi mencapai cita-cita menjadi polis.

"Saya mahu membalas jasa baik orang yang membantu saya," katanya.

Naruto turut memberitahu dia sudah lama memaafkan bapanya.


"Saya tidak mahu berdendam dengan apa yang sudah dilakukan bapa kepada kami," katanya. Sumber: Mymetro – Editor: Amylea Nazrul