Kantoi Maksiat Bakal pengantin Ditangkap Khalwat


JOHOR – Dalam Ops Ambang Tahun Baru yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), bakal pengantin di antara enam pasangan yang ditahan kerana disyaki berkhalwat,pagi ini.

Sebelum ditahan, anggota penguat kuasa sedang memeriksa sebuah bilik lain berhampiran bilik pasangan berkenaan dan nombor bilik pasangan itu tiada dalam senarai untuk diperiksa kerana tiada dalam buku rekod pendaftaran masuk hotel.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, pihaknya agak terkilan apabila masih ada pengurusan hotel bajet yang dilihat beesubahat apabila menyediakan perkhidmatan penginapan mengikut jam.

Bagaimanapun, apabila seorang anggota penguatkuasa cuba memulas tombol pintu, seorang lelaki berusia 23 tahun tiba-tiba membuka pintu menyebabkan pemeriksaan terus dibuat.

Pasangan terbabit yang mendakwa sudah bertunang dan bakal berkahwin pada Mei ini ditahan ketika berdua-duaan dalam sebuah bilik di hotel bajet dekat Taman Daya, Johor Bahru

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan bersama pasangannya berusia 24 tahun berada dalam bilik itu dan mendakwa baru pulang bekerja serta singgah untuk mandi.

Helah pasangan itu yang mendaftar mengikut jam tanpa mendaftarkan nama mereka berjaya dikesan menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa memeriksa semua bilik di hotel berkenaan bagi memastikan tiada pasangan Islam lain yang menginap di hotel itu tanpa mendaftarkan nama mereka.

Beliau berkata, penyediaan khidmat seumpama itu yang nyata lebih murah dan ada pula yang tidak mendaftarkan nama dalam rekod masuk hotel hanya mengundang kepada aktiviti tidak bermoral untuk terus berleluasa.

"Hotel bajet ini selain menawarkan harga yang murah, mereka sediakan khidmat menginap mengikut jam”.

"Bila kita siasat, ada yang masuk mengikut jam dan tidak daftar pula. Perkara ini mereka buat tidak ikut peraturan dan secara tersembunyi”.

"Bila kita ke hotel yang disyaki ada pelanggan terdiri pasangan Islam tidak sah, apabila diperiksa buku rekod, tiada nama," katanya ketika sidang media pada Ops Ambang Tahun Baru 2018, hari ini.

Dalam serbuan di lima hotel bajet sekitar Taman Daya dan Mount Austin itu, seramai enam pasangan terdiri daripada dua pasangan tempatan dan empat pasangan warga asing ditahan kerana disyaki berkhalwat.


Pasangan warga asing yang semuanya adalah pekerja perindustrian itu ditahan memandangkan wanita yang berasal dari Indonesia adalah beragama Islam.

Mohd Hafiz berkata, selain tindakan masuk mengikut jam dan tidak mendaftarkan nama, pihaknya juga dapat mengesan ada pasangan Islam yang mendaftar atas nama orang lain.

Menurut Mohd Hafiz lagi, operasi dan serbuan itu dijalankan kerana tidak mahu umat Islam menyambut tahun baru dengan melakukan aktiviti tidak bermoral.

"Kebanyakan mereka ditahan hari ini adalah warga asing dan kita ingin mengingatkan mereka apabila datang ke negeri ini untuk bekerja, hormatilah undang-undang syariah terutamanya yang membabitkan umat Islam," katanya.

Semua pasangan yang ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 itu dibawa ke Balai Polis Taman Setia Indah untuk membuat laporan polis sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAINJ untuk proses dokumentasi.

Operasi itu diadakan selama dua jam 30 minit dan berakhir 2.30 pagi membabitkan kekuatan 20 anggota penguat kuasa JAINJ dan Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru. - Sumber: Harian Metro - Editor: Amylea Nazrul