Ahad, 14 Januari 2018

Kawan Karib Lemas Di Depan Mata


LANGKAWI: Seorang lelaki ditemui lemas selepas tergelincir dan terjatuh ketika mandi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

“Sebelum kejadian, Mohamad Aszuan teruja bergambar dan mandi bersama saya dan dua lagi rakan di telaga pertama,” kata Syahril Sabtu, 29, rakan Mohamad Aszuan Mohamad Nasir, 28, yang lemas. 

Syahril berkata, walaupun kejadian lemas membabitkan rakan karibnya itu berlaku di depan mata, namun mereka bertiga tidak berupaya menyelamatkan mangsa kerana semua tidak tahu berenang.

“Saya nampak arwah melambai tangan meminta tolong ketika timbul sejurus dia tergelincir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Langkawi (HL).

Menurutnya, mereka berempat termasuk Mohamad Aszuan yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam, Melaka, bercuti di pulau itu Jumaat lalu dan dijangka pulang hari ini.

“Mohamad Aszuan duda dan ada seorang anak berusia dua tahun,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisham Ibrahim berkata, mangsa ditemui dalam air sebelum diangkat ke darat oleh orang awam.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.15 pagi sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

Mohd Hisham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa turun dari kawasan air terjun ke tempat letak kenderaan pusat rekreasi itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut Syahril, jenazah Mohamad Aszuan yang berasal dari Felda Keratong, Pahang akan dibawa pulang ke Kuala Selangor, Selangor untuk dikebumikan di kampung neneknya. Sumber: Mymetro - Editor: Amylea Nazrul