Ahad, 7 Januari 2018

Keajaiban Buat Abiq


KOTA BHARU: Sepasang suami isteri hampir pernah putus harapan apabila melalui saat-saat genting ketika melihat jantung bayi mereka yang pada ketika itu berusia dua bulan terhenti seketika dan turut gagal membekalkan oksigen kepada otaknya.

Mereka sekeluarga pasrah dan redha sekiranya Allah SWT ingin menjemput anak istimewa berkenaan lebih awal sebelum sempat membesar bersama abang dan kakaknya.

Namun, semua itu bukanlah dibawah bidang kuasa mereka.

Ternyata, keajaiban Pencipta berlaku apabila Shamsila Muhammad, 47, dan suami Norazli Mohd Arshad, 50, masih lagi diberi peluang untuk bersama anak mereka, Muhamad Nabiq Haikal yang kini sudah pun berusia sembilan tahun.

Ibunya berkata, dia tidak akan pernah lupa kejadian yang berlaku pada tahun 2008 itu apabila jantung Muhamad Nabiq Haikal yang dipanggil Abiq tidak berdegup dan boleh diibaratkan sudah tidak bernyawa.

Tambahnya lagi, doktor yang merawat anaknya di wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya dan Alhamdulillah dengan kuasa Allah, Abiq kembali bernafas.

Namun, mereka tetap pasrah apabila Abiq tidak dapat membesar seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya dan masa rawatannya di hospital telah mengambil masa selama setahun.

Abiq juga turut disahkan menghidap ‘cerebral palsy’ selain turut menderita penyakit paru-paru kronik dan komplikasi jantung.

Dia juga dikatakan sukar untuk membesar dan beratnya hanya 5.25 kilogram (kg) selain dikatakan tidak boleh berjalan.

Doktor yang merawatnya turut memberitahu bahawa mata kanannya tidak lagi berfungsi manakala mata kirinya pula hanya boleh melihat pada jarak dekat.

Menurut ibunya lagi, disebabkan masalah kesihatan anak bongsunya itu dia lebih banyak meluangkan masa di hospital berbanding di rumah.

Katanya lagi, setiap kali Abiq di hospital, hanya dia yang menjaganya kerana suaminya perlu bekerja mencari nafkah bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Pendapatan suaminya juga dikatakan tidak menentu kerana dia hanyalah melakukan kerja-kerja kampung.

Ada kalanya suaminya itu memperoleh RM 200 seminggu dan bagi menambah pendapatan isi rumah, dia membuat roti sandwic untuk dijual di koperasi sekolah.

Walaupun mendapat bantuan sebanyak RM 300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ternyata ianya tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Kos untuk perbelanjaan anak istimewanya itu dikatakan hampir menelan belanja sebanyak RM 3000 sebulan bagi kos membeli keperluan dan juga kereta sewa yang digunakan untuk ke hospital.

Abiq juga dikatakan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub terus ke perutnya dan harga susu itu melebihi RM 300 seminggu.

Namun dalam keadaan kekurangan ini, mereka sekeluarga tidak pernah mengeluh kerana Abiq adalah anugerah Allah yang paling indah untuk mereka selain menguji kesabaran mereka membesarkan amanah itu dengan penuh kasih sayang. Sumber:MyMetro - Editor: Amira