26 Jan 2018

Kebakaran Di Hospital Korea Telah Mengorbankan 33 Orang


SEOUL – Sebuah hospital di Korea Selatan telah terlibat dalam kebakaran dan seramai 33 orang telah meninggal dunia manakala lebih 70 orang lagi cedera dan lapan daripada yang cedera itu dalam keadaan kritikal.

Jabatan Bomba Miryang, Choi Man-woo berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) di bilik kecemasan di tingkat pertama Hospital Sejong.

Seramai 200 orang dari bangunan utama hospital yang turut menempatkan pesakit di pusat penjagaan itu telah dipindahkan oleh pasukan bomba.

Laporan mengatakan seramai lapan orang cedera parah dan 69 cedera ringan.

Kebanyakan mangsa yang maut adalah pesakit yang ditempatkan di tingkat pertama dan kedua hospital berkenaan.

Choi Man-woo berkata, anggota mereka akan menyiasat punca kebakaran itu.

Saluran penyiaran Korea Selatan, YTN menunjukkan asap hitam keluar dari tingkap dan pintu masuk hospital serta terlihat seorang pesakit sedang dibawa keluar dari hospital manakala seorang lagi dibungkus dengan selimut.

Mangsa yang dipindahkan akan dirawat di empat hospital berasingan.

Bencana ini berlaku selepas sebulan kejadian 29 orang terbunuh dalam kebakaran di pusat kecergasan di bandar Jecheon. Sumber:Berita Harian , Editor:Farhana
               












Advertiser