Rabu, 31 Januari 2018

Kecoh Masuk Wad Sebab Minum Kopi Raja Buah


PULAU PINANG - Kecoh apabila beberapa individu terpaksa menerima rawatan di Hospitl Pulau Pinang (HPP) selepas dikatakan meminum sejenis kopi segera berperisa mycafe durian white cafe semasa waktu bertugas.

Ia tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak petang Selasa, yang mendakwa seramai empat orang pesakit dirawat di Zon Merah Bahagian Kecemasan HPP.

Difahamkan, keempat-empat pesakit itu mengalami sindrom sama seperti tekanan darah tinggi, berpeluh dan kelihatan resah.

Menurut mesej tular itu, dua daripada empat pesakit mengenali satu sama lain dimasukkan ke wad pada 27 Januari lalu, didakwa selepas minum kopi berkenaan.

Dua lagi pesakit masing-masing adalah rakan sekerja dibawa ke Bahagian Kecemasan hospital sama pada Selasa, selepas mengambil minuman kopi yang sama di tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Penang (JKN PP) akan membuat siasatan berhubung berita berkenaan yang tular pada Selasa lalu.

“Lewat hari ini ke JKN PP mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan beberapa pesakit yang dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang selepas minum sejenis kopi".

“Pihak JKN PP sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara ini dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada malam Selasa.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan pada orang ramai supaya hati-hati dengan apa yang anda minum dan juga menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman dan segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit. Sumber: Mstar - Editor: Amylea Nazrul