Kedai Emas Di Melaka Kena Rompak Lagi


MELAKA: Seorang pemilik kedai emas kerugian kira-kira RM200,000 selepas premisnya di Jalan Gan Heng Soo, di pecah masuk perompak dalam kejadian tengah malam tadi, Jasin di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, perompak dipercayai menebuk peti besi sebelum berjaya melarikan sejumlah yang besar dan barangan kemas ketika premis perniagaan itu sudah ditutup.

Pemilik kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Sia, 58, mendakwa dia terkejut ketika ingin memulakan perniagaan apabila mendapati bilik keselamatan yang menempatkan peti besi di pecah masuk perompak.

"Berikutan kejadian yang berlaku ini, saya segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mangsa sudah memulakan perniagaan itu lebih 20 tahun lalu, mendakwa penjenayah terbabit menebuk bahagian tepi peti besi dan mengambil sebahagian emas yang dapat dicapai dan merosakkan pintu peti itu.

Katanya, selain peti besi, kumpulan penjenayah itu turut merosakkan lima pintu besi di belakang kedai terbabit yang dipercayai digunakan kumpulan penjenayah terbabit untuk melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian pecah masuk premis itu dipercayai berlaku pada malam hari membabitkan lebih daripada dua individu.

"Bagaimanapun, kejadian itu tidak ada kaitan dengan kumpulan Geng Tebuk yang berlaku di Sungai Udang, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Siasatan masih dijalankan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran dan jumlah kerugian sedang ditafsirkan."

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan pecah masuk di malam hari. Sumber: Berita Harian - Editor: Amylea Nazrul