Kerana Bakar Teman Wanita, Lelaki Dipenjara 27 Tahun



AMERIKA SYARIKAT: Seorang lelaki dari Bayview, San Francisco dihukum penjara selama 27 tahun kerana disabitkan kesalahan dengan membakar teman wanitanya pada 2013, lapor agensi berita China Xinhua.

Suspek yang dikenali dengan nama Dexter Oliver, 27, yang bakal menjalani hukuman itu di sebuah penjara AS, telah menyerang teman wanitanya, Starr Lamare, pada 6 Januari 2013 selepas berlaku satu pertengkaran berkaitan dengan pakaian di sebuah kedai dobi berbayar berhampiran rumah mereka di Bayview.

Laporan juga menyatakan semasa pergaduhan itu berlaku, Oliver telah mengisi dua botol susu dengan gasolin dan menuangkannya ke seluruh badan Lamare sebelum bertindak membakar mangsa.

Lamare dikatakan mengalami kecederaan parah yang menyaksikan sebahagian besar muka dan bahagian atas badannya terbakar teruk.

Dalam pada itu, Oliver telah diberkas di Oakland oleh pihak berkuasa Amerika sebaik sahaja laporan diterima iaitu sehari selepas kejadian dan didakwa dengan pertuduhan cubaan membunuh serta melakukan perbuatan khianat dengan api.

Dia akhirnya mengaku bersalah di atas pertuduhan cubaan membunuh Lamare pada November tahun lepas. Sumber: Bernama, Editor: Amira