Kerana Duit RM10 Nyawa Melayang


KEDAH: Dalam kejadian 7.35 malam itu, Nur Liyanawati, 23, menunggang motosikal SYM Bonus 110 dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Kedah dilanggar kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.

“ARWAH sempat memberi wang belanja kepada saya sebanyak RM200 baru-baru ini selepas menerima gaji pertamanya namun kini dia sudah pergi buat selama-lamanya,”kata

Sobihah Saad, 49, ibu kepada Nur Liyanawati Tarmizi yang maut dalam kejadian langgar lari berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Shaari, Jalan Kubang Rotan, Alor Setar, semalam.

Menurutnya, selepas solat dan bermain dengan adik sepupunya, arwah meminta duit sebanyak RM10 kerana ingin membeli ayam goreng.

"Saya turut berada di rumah emak ketika itu dan dia meminta wang kerana ingin membeli ayam goreng untuk makan bersama saya.”

Sobihah berkata, sebelum kejadian, arwah singgah di rumah neneknya di Kampung Sungai Baru selepas habis kerja di Pejabat Zakat Kedah.

"Selepas itu, saya pulang dulu sementara dia menyusul tidak lama kemudian dengan motosikal," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sungai Baru, hari ini.

Katanya, dia hanya mengetahui arwah kemalangan selepas sekumpulan lelaki datang ke rumah memberitahu perkara itu.

“Mereka hanya memberitahu dia parah menyebabkan saya segera ke hospital," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu kenderaan apa yang melanggar anaknya dan sedih anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

"Anak saya baru sebulan kerja di pejabat zakat. Sebelum ini arwah tiga bulan menganggur sebaik tamat pengajian dalam bidang akaun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam," katanya.

Sobihah merayu sesiapa yang melihat kemalangan itu tampil membantu polis bagi mengesan pelaku dan memberi keadilan kepada arwah anaknya.

"Jika ada orang yang melihat kejadian itu tampil lah membantu kami dan polis bagi mengesan individu terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kes membabitkan kejadian langgar lari.

"Motosikal mangsa dari arah Kampung Sungai Baru menghala pulang ke rumahnya melalui Jalan Kubang Rotan terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan tidak dapat dipastikan dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan itu mangsa meninggal di lokasi kejadian dan kita meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Mohd Rozi berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Mymetro – Editor: Amylea nazrul