Ahad, 14 Januari 2018

Kerana Nak Kaya Sanggup Gali Kubur Rakan Karib


INDONESIA: Misteri sebuah kubur yang digali akhirnya terungkai juga selepas polis Indonesia menahan seorang lelaki di Ciputan, Tanggerang, Indonesia.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah setelah menggali kubur rakan karibnya sendiri semata-mata untuk mengambil tali pocong atau tali kain kafan.

Muhammad Irpan, 34, percaya setelah memiliki tali kafan itu rezekinya akan melimpah-ruah.

Irpan yang bekerja sebagai pemandu van penumpang dan rakan baiknya Suhendra hidup merempat sejak empat bulan lalu dan menumpang teduh di masjid.

Bagaimanapun Suhendra meninggal dunia pada 28 Disember 2017 dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan masjid itu.

Namun beberapa hari kemudian penduduk gempar apabila mendapati kubur berkenaan digali.

Tambah mengejutkan empat tali yang mengikat kafan jenazah didapati hilang.

Irpan yang ditahan pada 6 Januari lalu dan mengaku melakukan perbuatan itu.

Jelasnya lagi, dengan hanya menggunakan tangan dan sebatang kayu dia mula menggali kubur berkenaan pada jam 12 tengah malam dan mengambil masa tiga jam bagi mendapatkan apa yang dihajatinya.

Bagaimanapun tali pocong berkenaan tiada lagi padanya kerana telah dibuang ke sungai.

Dalam keterangannya kepada polis, Irpan menyatakan dia membuang tali kafan itu kerana ia tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.

Jelas Irpan ketika membawa tali berkenaan, dia gagal mendapatkan walau seorang pun penumpang.

Rabu lalu, Kesemua tali kafan yang dibungkus dalam plastik hitam itu ditemui di dalam Sungai Pessangrahan, 750 meter dari lokasi ia dibuang.

Irpan bakal berdepan hukuman penjara maksimum setahun empat bulan atas perbuatannya itu. Sumber: Astro Awani - Editor: Amylea Nazrul