Isnin, 8 Januari 2018

Leka Pamer Aksi Bahaya, 20 Remaja Diberkas.


AYER KEROH: Seramai 20 orang remaja dipercayai ‘mat rempit’ yang dikatakan sedang asyik mempamerkan aksi merbahaya mereka diberkas polis dalam satu Op Samseng Jalanan di Dataran 1Malaysia Klebang dan juga di sekitar Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA), Melaka tengah semalam.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dikatakan bermula pada jam 11.30 malam dan berakhir kira-kira jam 6.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah berkata, remaja-remaja yang ditahan itu dikatakan berusia di antara 15 hingga 25 tahun selain tujuh motosikal juga turut disita.

Katanya lagi, sebanyak 150 kenderaan telah diperiksa semasa operasi dijalankan dan 66 saman atas pelbagai kesalahan juga turut dikeluarkan.

Tambahnya lagi, seramai 14 individu telah ditahan semasa operasi di Lebuh SPA dan enam lagi di Dataran 1Malaysia Klebang.

Daripada kesemua yang ditahan itu, 10 individu terbabit dipercayai remaja di bawah umur.

Menurutnya juga, kesemua remaja terbabit kini di reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam operasi di kawasan Lebuh SPA, pihak polis juga turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan dia akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1987. Sumber: Mymetro, Editor: Amira