Lelaki Cuba Bakar Diri Di Rumah Kekasih


SARAWAK: Seorang lelaki dipercayai telah cuba untuk membakar dirinya sendiri namun terselamat dan dia telah melecur sebanyak 30 peratus di sekitar badannya. 

Kejadian tersebut dianggap sebagai kejadian yang berbahaya dan ianya telah berlaku di Kampung Sageng Simunjan, pagi tadi.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu telah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan kejadian dan mendengar jeritan mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Menurut komander operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak bomba telah menerima satu panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan mengenai kejadian itu pada jam 9.42 pagi.

"Setiba di lokasi pihak bomba telah mendapati mangsa telah melecur sebanyak 30 peratus akibat daripada kebakaran itu."

Mangsa segera diselamatkan oleh pihak bomba dan  kemudiannya dibawa ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

"Kejadian dipercayai berlaku di rumah kekasih mangsa dan pihak bomba mendapati kebakaran hanya melibatkan lantai rumah sahaja," katanya.

Kes ini akan segera disiasat oleh pihak berkuasa Simunjan untuk mengetahui punca kebakaran itu berlaku. Sumber: Astro Awani, Editor: Amira