Malang Tidak Berbau


MELAKA – Sebuah motosikal yang dinaiki seorang bapa bersama tiga orang anaknya dalam perjalanan ke sekolah telah dirempuh oleh sebuah kereta di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau, Jasin, pagi semalam, 12 Januari.

Kejadian kira-kira 7.15 pagi itu mengakibatkan seorang murid lelaki daripada tiga beradik itu cedera parah manakala bapa, kakak serta adik perempuannya cedera ringan.

Mangsa yang berusia lapan tahun itu mengalami pendarahan di kepala dan dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 51 tahun itu mahu menghantar tiga anaknya masing-masing berusia tujuh, lapan dan 12 tahun ke sekolah.

Niat murni anak-anak yang ingin menuntut ilmu berakhir tragedi apabila motosikal jenis Yamaha yang dipandu bapa dirempuh di lokasi kejadian oleh sebuah Perodua Kancil.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari arah Merlimau ke Jasin terlanggar motosikal mangsa yang berhenti di tengah jalan.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa kemudian terseret ke hadapan dan terlanggar dua kereta masing-masing Honda City dan Proton Saga BLM yang datang dari arah Jasin," katanya.

Menurut Arshad, penunggang motosikal mengalami luka di perut, tangan dan peha manakala dua anak perempuannya luka di badan.

"Semua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.”


"Keterangan semua pemandu kereta sudah diambil ketika mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. Sumber:Harian Metro , Editor:Farhana