Meninggal Dalam Bas


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai meninggal dunia akibat daripada serangan jantung yang dialaminya ketika berada dalam sebuah bas di Pasar Seni Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, lelaki itu dikenali dengan nama Azman Abas, 57 dikatakan berada di dalam sebuah bas Rapid KL sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan awal oleh pihak berkuasa, badan mangsa didapati tiada sebarang kesan luka dan lebam yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Berdasarkan maklumat yang berjaya dikumpul daripada pemandu bas berkenaan, mangsa dikatakan menaiki bas dari Bandar Baru Sentul sebelum dikatakan sesak nafas dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk di bedah siasat sebelum jenazah mangsa dituntut oleh anaknya, Abdullah Suffian berusia 31 tahun.

Ketika ditemuramah, anak mangsa memberitahu bahawa mangsa menghidap pelbagai jenis penyakit iaitu paru-paru berair, kencing manis serta mengalami komplikasi jantung.

Tambahnya lagi, mangsa juga pernah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat komplikasi jantung.

Hasil daripada laporan bedah siasat, pihak HKL mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Sumber: Harian Metro, Editor: Amira