Operasi 'Mapiau' Di KLIA Terbongkar


KUALA LUMPUR: Bekerja hanyalah tiga hari seminggu, bergerak secara solo dan menjadikan pemandu teksi sekitar tempat letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai pelanggan utama adalah modus operandi yang dilakukan seorang lelaki berusia 47 tahun.

Suspek dikatakan adalah penjual nombor ekor bergerak yang telah ditahan pihak berkuasa Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam satu operasi di KLIA, Sepang semalam.

Menurut Pegawai D7 IPK Selangor suspek ditahan kira-kira pada jam 3 petang ketika sedang berurusan dengan seorang lelaki disyaki pelanggannya di sekitar kawasan tempat letak kenderaan berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit sudah menjalankan kegiatan tersebut sejak setahun lalu dan mampu meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Suspek yang juga bekerja sebagai pemasang jubin itu dikatakan hanya bekerja tiga hari seminggu iaitu Sabtu, Ahad dan Rabu antara jam 9 pagi hingga 6 petang.

Dia dipercayai akan berjalan sekitar tempat letak kenderaan di situ untuk mencari pelanggan dan menjual tiket nombor ekor kepada pelanggannya bermula dari harga serendah RM1 hingga RM20.

Walaubagaimanapun, tiket nombor ekor itu hanya akan dihantar melalui sistem mesej ringkas (SMS) sahaja

Menurut pihak berkuasa lagi, bagi setiap RM1 nombor yang dibeli, lelaki terbabit akan mendapat komisen sebanyak 12 sen.

Malah, suspek juga dikatakan melakukan kegiatan tersebut secara sampingan dan ianya hanyalah untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

Tambahnya lagi, serbuan kira-kira jam 2 petang itu telah dilakukan selepas mendapat aduan daripada orang awam dan juga risikan polis selama tiga hari.

Suspek juga dikatakan mengaku menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu, namun tidak pernah terjerat dengan operasi pihak berkuasa.

Melalui hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak berkuasa berjaya menemui wang tunai dipercayai hasil penjualan nombor ekor yang dianggarkan berjumlah RM1,000 dan juga tiga buah telefon pintar.

Kesemua wang tunai dan telefon ini dirampas untuk siasatan lanjut.

Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis KLIA untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Sumber: Mymetro, Editor: Amira