Padah Tidak Pandang Belakang


MELAKA: Seorang pelajar lelaki tahun dua hari ini dilaporkan cedera di kepala dan anggota badan selepas dikatakan dilanggar sebuah kereta yang sedang mengundur di Sekolah Kebangsaan Air Baruk, Jasin.

Kejadian menyayat hati itu berlaku sekitar jam 6.50 pagi ketika murid terbabit sedang berjalan dalam kawasan sekolah terbabit.

Superitendan Mohd Sham Abdullah selaku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri berkata, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan sekolah terbabit yang berusia 62 tahun dikatakan sedang meletakkan keretanya berhampiran bangunan sekolah untuk mengambil barang.

“Sebaik sahaja pengawal keselamatan itu memasuki kereta, dia mengundur dan kemudiannya memandu ke hadapan sebelum seorang guru sempat menjerit dan memintanya untuk menghentikan kereta kerana seorang murid sudah dilanggar”.

Tambahnya lagi, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar sebelum sempat dikejarkan ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan dan telah dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang telah dirawat mengalami kecederaan termasuk berdarah di bahagian kepala selain mengalami kecederaan kecil di bahagian badan.

"Walaubagaimanapun, dia dalam keadaan stabil dan kecederaan dialaminya dilaporkan tidak serius," katanya yang turut berasa lega kerana murid terbabit tidak digilis tayar kereta.

Beliau turut memberitahu bahawa kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 43 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Mohd Sham turut menggesa ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka terutamanya bagi yang bersekolah rendah supaya tidak memasuki kawasan sekolah kerana dibimbangi perkara tersebut akan berulang lagi. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira