Pencarian MH370 Diteruskan



KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menerima satu tawaran daripada sebuah Firma Perkapalan Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity bagi meneruskan operasi untuk mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang telah hilang di Lautan Hindi.

Perkara itu sendiri telah disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Sabtu lalu.

Tambahnya lagi, beliau juga memaklumkan bahawa kontrak untuk membolehkan Seabed Constructor memulakan operasi tersebut akan ditandatangani pada minggu hadapan.

Ocean Infinity selaku syarikat yang bertanggungjwab itu hanya akan menetapkan bayaran jika rangka pesawat itu berjaya ditemui.

Firma itu juga dikatakan bersedia untuk mencari bangkai pesawat terbabit di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi seperti yang ditetapkan oleh kumpulan pakar di kawasan berhampiran dengan perairan Australia.

Walaubagaimanapun, tambah Tiong Lai lagi, beliau sebolehnya tidak mahu memberi harapan yang tinggi kepada keluarga mangsa.

Pencarian ini juga dikatakan untuk membuktikan komitmen kerajaan bagi meneruskan pencarian pesawat itu seperti mana yang dinyatakan sebelum ini.

Kehilangan pesawat MH370 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan kru itu masih lagi menjadi satu misteri yang sukar dipercayai.

Setakat hari ini, negara-negara seperti Australia, China dan Malaysia telah membelanjakan sekurangnya A$200 juta untuk tujuan mencari pesawat itu.

Malaysia dalam pada masa yang sama turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang berunding dengan Ocean Infinity untuk meneruskan usaha mencari di mana firma ini hanya akan dibayar jika pesawat itu ditemui.

Diharapkan pihak Ocean Infinity akan memperoleh kontrak bagi meneruskan usaha mencari MH370 dalam masa terdekat.

Jurucakap firma itu turut memberitahu kepada satu agensi iaitu Reuters bahawa kapal mereka sekarang masih dalam proses untuk ke lokasi pencarian dan kontrak tersebut dijangka akan diperoleh dalam masa dua minggu daripada sekarang.

Dalam pada masa yang sama, data perkapalan Reuters pula mendapati, Seabed Constructor telah memulakan perjalanannya dari Durban, Afrika Selatan pada Selasa ke Perth, Australia dan dijangka akan tiba pada 7 Februari. Sumber: MStar, Editor: Amira