Isnin, 8 Januari 2018

Polis tahan pengguna Facebook ugut petugas Jabatan Veterinar Sarawak


KUCHING: Seorang pegawai bank berumur 34 tahun ditahan polis gara-gara status Facebook yang dimuatnaiknya di mana dia dikatakan telah mengugut seorang petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak suspek dikatakan telah ditahan pada jam 10.50 pagi ini di rumahnya di BDC Stampin oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Padawan.

Tambahnya lagi, suspek dikatakan membuat catatan berbaur ugutan terhadap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam sebuah halaman Facebook yang memperjuangkan nasib anjing liar.

Suspek juga dikatakan turut menghasut pengikut laman sosial Facebook itu untuk membuat sekatan jalan raya dan melepaskan anjing liar yang ditangkap itu.

Dalam status yang dimuatnaik, suspek dikatakan turut mencadangkan penggunaan langkah yang melampau untuk menghalang operasi jabatan itu untuk menangkap anjing liar.

Hasil daripada siasatan, pihak polis berjaya merampas telefon bimbit suspek, yang ketika ini ditahan untuk siasatan lanjut.

Pihak polis juga dalam pada masa yang sama sedang mengesan seorang lagi pengguna Facebook yang mencadangkan supaya anggota yang terlibat dalam operasi untuk menangkap anjing liar dibunuh dan identiti individu terbabit telah dikenal pasti. Sumber: Bernama, Editor: Amira