Psoriasis bukan HIV


THAILAND – Penyakit Psoriasis jarang sekali berlaku dalam kalangan masyarakat namun penyakit itu telah menyerang seorang wanita.

Seorang wanita yang mempunyai 2 orang anak menerima nasib malang apabila kehilangan pekerjaan dan dijauhi oleh individu yang cetek ilmu kerana menyangka wanita itu menghidap penyakit AIDS.

Sebenarnya wanita itu menghidapi Psoriasis dan masih boleh dirawat.

Tahukah anda apa itu Psoriasis?
Kenali apa itu psoriasis

Seseorang yang mempunyai penyakit psoriasis biasanya akan mengalami keadaan di mana terdapat di bahagian-bahagian tertentu pada kulit mereka yang bertompok-tompok dan bersisik.

Ia biasanya terdapat pada siku, lutut, kulit kepala, dada dan bahagian bawah belakang badan.

Walau bagaimanapun, ianya boleh timbul di mana-mana permukaan kulit termasuk di bahagian sulit.

Psoriasis juga boleh melibatkan kuku yang menjadi rapuh dan kekuningan dan ada juga yang mengalami masalah sendi-sendi (arthiritis).

Psoriasis adalah penyakit yang tidak berjangkit namun ramai yang menyalah anggap mengatakan ianya berjangkit.

Walaupun bersentuhan dengan individu yang mempunyai penyakit ini ianya tidak angkan dijangkiti namun ramai yang salah anggap kerana penghidap mempunyai keadaan fizikal yang mencacatkan rupa bentuk kulit.

Pesakit yang mengalami Psoriasis memerlukan rawatan berpanjangan untuk mengawal penyakitnya itu tetapi mereka juga memerlukan pemahaman yang baik tentang penyakit tersebut agar tidak menjejaskan keyakinan diri mereka.

Penyelidikan terhadap penyakit ini hanya menunjukkan bahawa ianya ada kaitan dengan faktor genetik. Namun apa yang menyebabkan ianya datang, pergi dan kembali semula mungkin disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti:

*Infeksi

*Reaksi terhadap sesetengah ubat-ubatan

*Kecederaan pada kulit

*Tekanan

*Cuaca

*Lain-lain faktor seperti merokok dan pengambilan alcohol

Faktor-faktor di atas juga boleh mempengaruhi keadaan psoriasis seseorang pesakit itu menjadi semakin teruk jika tidak mendapat rawatan.

Di Malaysia, lebih kurang 2% penduduk mengalami penyakit ini dan kebanyakannya muncul di peringkat dewasa walaupun terdapat kes-kes yang melibatkan kanak-kanak dan bayi.

Psoriasis sebenarnya adalah keadaan di mana sel-sel kulit mengalami proses matang yang lebih cepat dari biasa.

Jika sel-sel biasa mengambil proses kitaran selama 28 sehingga 30 hari, sel-sel kulit psoriasis pula mengambil masa 3 sehingga 6 hari sahaja.

Akibatnya sel-sel ini bergerak ke atas menuju ke permukaan dengan cepat lalu menghasilkan sisik-sisik tebal yang jelas kelihatan. ianya juga mengakibatkan saluran darah di bawah kulit menjadi lebih lebar dan meningkatkan aliran darah.

Peningkatan bekalan darah ini menjelaskan kehadiran tompok-tompok bersisik ini dan menjadi merah apabila digaru dan mudah berdarah.

Pesakit psoriasis dan kehidupan seharian
Faktor pemakanan tidak menjadi punca kepada penyakit ini kerana contohnya di Malaysia terdapat pelbagai kaum yang mengalami penyakit ini dan juadah makanan setiap kaum itu juga berbeza.

Ianya juga tidak sepatutnya menjejaskan perhubungan seks sekiranya pasangan itu memahami penyakit ini.

Psoriasis juga tidak menjejaskan proses kehamilan namun kadangkala keadaan pesakit mungkin bertambah baik ataupun menjadi semakin buruk.

Walaupun terdapat faktor genetik di dalam penyakit ini, adalah sukar untuk membuat ramalan samada anak yang dilahirkan itu akan menghidap Psoriasis atau tidak.

Terdapat keadaan di mana beberapa ahli keluarga menghidapi Psoriasis pada masa yang sama ada juga penghidap yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidapi penyakit itu.