Punca Sebenar Di Sebalik Kisah Ibu Bunuh Tiga Anak.


JAWA TIMUR: Semalam telah heboh satu berita di mana seorang ibu sanggup meracun tiga orang anaknya sebelum bertindak membunuh diri di Jombang, Jawa Timur.

Kejadian menyayat hati ini dikatakan berlaku pada 16 Januari yang lepas.

Sebelum ini pihak berkuasa memberitahu bahawa setakat semalam, pihaknya masih lagi belum mengetahui punca sebenar tindakan sebegitu di ambil.

Namun, hari ini melalui satu sidang media khas oleh Ketua Polis Jombang berkata bahawa pihaknya telah dapat mengetahui punca sebenar serta kronologi di sebalik kes terbabit.

Difahamkan, punca kes ini berlaku adalah kerana suami kepada Evi Suliastin, 26, iaitu suspek utama kepada kes ini ingin berkahwin dengan wanita lain.

Niat suaminya itu membuatkan Evi berasa berang dan kecewa kerana perkahwinannya yang telah di bina sekian lama akan hancur begitu sahaja.

Oleh sebab itulah, dia bertindak di luar jangkaan apabila dia meracuni tiga anaknya yang masing-masing berusia 6 tahun, 4 tahun dan juga 4 bulan sebelum membunuh dirinya sendiri.

Namun begitu, kesemua anaknya itu tidak dapat di selamatkan dan dilaporkan meninggal sebelum tiba di hospital manakala Evi pula bernasib baik.

“Evi adalah isteri kedua dan mereka telah bernikah sejak 7 tahun lalu dengan seorang lelaki pemilik sebuah pusat pengajian agama setelah isteri pertamanya meninggal dunia.”

“Lelaki itu memberitahu keinginanya untuk bernikah lagi dengan perempuan lain secara senyap-senyap dan turut menuduh bahawa anak kedua mereka itu bukanlah anak kandungnya” katanya.

Berpunca daripada masalah ini, Evi dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk dan pada akhirnya dia bertindak di luar jangkaan iaitu dengan membunuh ketiga-tiga anaknya.

Hasil daripada bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa menunjukkan bahawa anak kedua pasangan itu bukanlah dibunuh kerana meneguk racun, tetapi maut apabila lemas dipercayai di benam ke dalam tab mandi seperti mana pengakuan yang dibuat oleh suspek sendiri.

Dalam pada masa yang sama juga, anak pertama dan anak ketiganya juga dipercayai sempat di dera sebelum dipaksa untuk meminum racun berdasarkan kesan lebam yang terdapat pada tubuh kanak-kanak itu.

Suspek yang kini sedang dirawat di hospital dikhabarkan semakin pulih, namun dia masih belum boleh memberi sebarang keterangan.

Sementara itu, ketiga-tiga mangsa telah selamat dikebumikan semalam di tanah perkuburan Islam Jombang dan pihak polis menyatakan bahawa kes ini telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan tindakan segera akan diambil ke atas suspek. Sumber: E Berita, Editor: Amira