Sabtu, 13 Januari 2018

Pusat Peranginan 5 Bintang Musnah Akibat Banjir Lumpur


CALIFORNIA: Sebuah pusat peranginan bertaraf 5 bintang musnah teruk dalam satu banjir lumpur yang melanda California Selatan, pada minggu ini.

Pusat peranginan dan percutian iaitu The San Ysidro yang terletak berdekatan Santa Barbara ini telah menjadi salah satu destinasi bulan madu Presiden John F Kennedy, iaitu Presiden Amerika Syarikat yang ke 35 bersama isterinya, Jacquelline suatu masa dulu.

Menurut jurucakap Kebakaran Daerah Santa Barbara, banjir lumpur tersebut dikatakan berpunca daripada limpahan air sungai yang turut bercampur lumpur dipercayai terletak di bahagian belakang kotej di ladang berkenaan.

Walaubagaimanapun, kos kerosakan ladang seluas 202 hektar yang terletak di kaki bukit hutan simpan Los Padres itu masih belum diketahui dan belum dianggarkan lagi.

Beberapa orang pekerja di pusat peranginan berkenaan sudah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan mereka perlu menunggu sekurang-kurangnya dua minggu untuk kembali ke tempat tersebut.

Berdasarkan pemerhatian daripada Ahli Kongres Amerika Syarikat dari parti Demokrat, yang melawat kawasan berkenaan hari ini, memberitahu pusat berita Reuters bahawa tempat itu sepertinya telah dilanda peperangan.

"Ia seperti zon perang yang baharu saja dibom,"katanya.

Selain tempat ini menjadi tumpuan Presiden Kennedy dan isteri, aktor Vivien Leigh dan Laurence Olivier juga dipercayai pernah melangsungkan majlis perkahwinan mereka di ladang berkenaan.

Sementara itu, beberapa bintang Hollywood seperti Audrey Hepburn dan Grouncho Marx juga gemar menghabiskan percutian mereka di situ ketika ladang berkenaan adalah milik seorang pelakon bagi  pemenang Anugerah Akademi, iaitu Ronald Colman sekitar 1930- an.

Namun begitu, pemiliknya yang merupakan jutawan jenama Beanie Babies, Ty Warner yang membeli pusat peranginan itu pada 2000 menolak untuk memberi sebarang komen mengenai kejadian yang menimpa pusat peranginan terbabit. Sumber: Berita Harian, Editor: Amira