16 Jan 2018

Sajat Sedia Jumpa Jakim Berkenaan Isu Jantina


PETALING JAYA: Nur Sajat Kamaruzzaman yang dikenali sebagai usahawan kosmetik terkenal bersedia berjumpa dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu berkaitan dirinya yang menimbulkan keresahan dan persoalan dalam kalangan masyarakat.

Nur Sajat menjelaskan bahawa beliau hanya bersetuju mengadakan pertemuan itu sekiranya ia dilakukan secara berhemah demi kebaikan bersama.

“Setakat ini, Sajat tidak mendapat sebarang maklumat daripada P.A (pembantu peribadi) berhubung pertemuan berkenaan. Kalau orang nak cari Sajat, ada je kat Wisma Nur Sajat ni.

“Sepatutnya kalau dia (pihak Jakim) nak jumpa Sajat, dia boleh terus berhubung dengan Sajat sendiri atau dengan P.A (pembantu peribadi), bukannya dengan mesej terbuka macam tu,” katanya kepada mStar Online.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman menerusi laman Twitternya menyatakan persetujuan berhubung hasrat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan bersama Sajat.

Selama ini Sajat menegaskan bahawa dia tidak mempedulikan kecaman dan cemuhan netizen yang dilontarkan kepadanya.

Sajat berkata tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu sekadar mencemburui dirinya yang semakin berjaya dalam bidang perniagaan.

Beliau menjelaskan bahawa selama ini dia berada di pihak yang benar dan tidak takut untuk bertemu dengan pihak jakim.

"Saya sedia berjumpa dengan Jakim tapi biarlah ia dibuat secara berhemah. Kalau elok antara kedua-dua pihak, kenapa tidak?

"Kita boleh berjumpa, tak ada masalah pun. Sajat tahu di pihak yang benar, bukannya buat kerja-kerja yang tidak elok,” katanya.

Izwan Yusof merupakan pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim menerusi ‘mesej terbuka’ berhajat untuk berjumpa Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.

“Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat.

“Atau kami sedia berjumpa dengan Sajat di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7,” kata Izwan.

Izwan berkata, pihaknya mengambil sikap berkecuali berkenaan hal-hal membabitkan Sajat di media sosial, kerana mereka perlu mengetahui masalah sebenar yang dihadapi.

“Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Sajat.

“Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam,” katanya. Sumber:mStarOnline , Editor:Farhana





Advertiser