17 Jan 2018

"Saya Hanya Ada 12 Tahun Lagi" - Shuib


Shuib yang terkenal sebagai pelawak memasang impian untuk berehat panjang dan tidak mahu memikirkan soal kerja apabila usianya memasuki 45 tahun.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, berkata dia mahu meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga ketika itu.

Ketika di temu bual oleh mStar Online Shuib berkata dia tidak mahu lagi bekerja dan hanya duduk di tepi pantai bersama isteri dan anak-anak.

Katanya dia tidak mahu lagi fikir soal duit dan tertekan dengan kerja.

Buat masa Ini Shuib mahu ‘pulun’ sehabis mungkin dan tidak mahu berlengah kerana hanya ada 12 tahun sahaja lagi.

Shuib ditemui semasa program An Evening With Siti Sarah And Hearty Sarah di Soireelab, Putrajaya pada Ahad.

Sementara itu, Shuib mengakui kekangan waktu bersama anak-anak dan keluarga membuatkan dia nekad meninggalkan karier sebagai penyampai radio di Sinar FM.

Malah, dia juga mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang perniagaan yang baru diceburi.

"Saya akui apabila terlalu sibuk, rasa seperti jauh dengan anak-anak dan kerana itu saya berhenti sebagai DJ radio.

"Sekarang ini pagi-pagi saya boleh uruskan mereka dan kami ada banyak masa bersama dan saya juga nak fokus dengan bisnes yang baru saya ceburi," katanya yang masih aktif sebagai pelawak dan pelakon.

Shuib mempunyai empat syarikat yang perlu diuruskan iaitu Monsta, Fazaloo.com, Madu Tiga, dan Manhajj Mutawwif Travel.

Dalam pada itu, pelawak itu berkata dia banyak menerima rujukan daripada isteri tercinta Siti Sarah dalam membuat sesuatu keputusan.

Sarah sentiasa bersama suaminya kemana sahaja dan sentiasa membantu Shuib membuat keputusan.

"Walaupun ada sesetengah benda dia tak tahu apa-apa, saya masih bertanya pendapat dan merujuk kepada dia terlebih dahulu.

"Apa yang saya miliki hari ini adalah tuah dan doa daripada isteri dan anak-anak, kerana itu mereka menjadi keutamaan saya sampai bila-bila," katanya.

Pasangan yang berkahwin pada 26 Februari 2011 itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin yang berusia dua tahun. Sumber:mStar Online , Editor:Farhana





Advertiser