KELANTAN: Tanpa di sedari oleh ahli
keluarga seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun telah terperangkap dalam telaga dengan
ketinggian 7.5 meter (m) selama hampir empat jam di Kampung Banggol, Jalan
Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zaini Bidin berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 8.42 pagi.
Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam telaga
kira-kira 4 pagi ketika mengambil wuduk untuk solat sunat berikutan rumah
mereka mengalami gangguan air.
Kejadian disedari isterinya berusia 80
tahun ketika hendak mengambil air kira-kira 8.30 pagi.
Anak mangsa, Rosidah, 64, berkata, ibunya
meminta pertolongan jiran selepas menyedari mangsa ada di dasar telaga.
"Ketika itu, saya sedang mengaji
al-Quran di surau berhampiran sebelum bergegas pulang.
"Kami sekeluarga menghubungi balai
bomba untuk memaklumkan kejadian. Pasukan bomba menyelamatkan ayah sebelum
dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan
lanjut dan dibenarkan pulang ke rumah kerana tidak mengalami kecederaan,”
katanya ketika ditemui di rumah, hari ini.
Menurutnya, keluarga bersyukur kerana
bapanya terselamat kerana paras air pada masa itu hanya 0.3m.
Katanya, khidmat khas itu mengambil masa
selama 40 minit dengan menggunakan teknik sistem takal dan mangsa diberi
rawatan awal oleh Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS)
sebelum dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. SUMBER: Mymetro – EDITOR:
Amylea Nazrul