Ahad, 14 Januari 2018

Tanam Bom Tepi Longkang Kerana Takut Ditangkap


KUALA LUMPUR: Sebutir bom tangan yang ditanam oleh seorang lelaki di tepi longkang berhampiran tangga di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju dan telah dirampas oleh polis pada 13 Januari.

Lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki menagih dadah itu berkelakuan curiga dan ditahan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama kira-kira 9.30 pagi semalam dan disoal siasat sebelum bom itu ditemui.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata suspek mendedahkan aktiviti penyalahgunaan dadah yang dilakukannya serta mengaku mempunyai bom tangan dan disorok dengan cara menanamnya berhampiran kondominium berkenaan.

"Suspek mendakwa bom tangan terbabit diperolehnya daripada seorang rakan warga Thailand sejak dua tahun lalu.


"Oleh kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa, suspek menanam bom tangan berhampiran kondominium terbabit kerana pada masa itu dia menetap di situ sebelum berpindah ke Bandar Puteri Kinrara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan UPB dan K9  sebelum menjumpai bom tangan yang ditanam suspek.

Susulan itu, katanya sepasukan anggota daripada Unit Pemusnah Bom (UPB) dan anjing pengesan (K9) pergi ke lokasi dengan dipandu arah oleh suspek ke tempat bom tangan itu ditanam.

"Sebagai langkah keselamatan, keseluruhan penghuni Blok B diarah mengosongkan unit masing-masing sebelum kerja mengorek dan mengeluarkan bom tangan dilakukan.

"Satu objek menyerupai bom tangan ditemui oleh pasukan UPB yang kemudian diletakkan dalam 'bekas selamat' untuk proses analisis," kata Mazlan lagi.

Beliau berkata, pasukan UPB dan K9 telah membuat saringan keselamatan di lokasi terbabit dan tidak menemui sebarang objek seumpamanya sebelum mengisytiharkan kawasan itu selamat.

Tiada unsur keganasan dan unsur suspek ingin mencederakan sesiapa ditemui.

"Suspek hanya menyorokkan objek tersebut (bom tangan) kerana khuatir ditangkap pihak berkuasa," jelas beliau yang turut memaklumkan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan tepat dari pihak polis.

Tambahan lagi, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat, mereka perlu melaporkan kepada polis bagi memudahkan siasatan dibuat. Sumber:Berita Harian , Editor:Farhana