Terdapat Harta Karun Di Dalam Rumah Kosong



JOHOR: Selepas disyaki menjadikan sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Sepakat Baru, Kulai sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah, dua orang lelaki berusia 18 dan 22 tahun ditahan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota polis menyerbu kediaman berkenaan pada 11.15 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui sebuah beg galas berisi 154 peket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 102 gram.

Menurutnya lagi, ketika serbuan kedua-dua lelaki itu berada di hadapan rumah dan pemeriksaan pada tubuh mendapati remaja lelaki berusia 18 tahun memiliki sepeket plastik berisi ganja seberat 0.85 gram.

“Turut ditemui satu peket lutsinar mengandungi syabu seberat 1.51 gram, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 18 tahun positif dadah.

"Nilai rampasan dadah dianggarkan RM3,580 dan ia dipercayai bekalan untuk seramai 200 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, hari ini

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung jika disabit kesalahan.

Katanya, mereka yang tidak memiliki rekod jenayah di reman selama tujuh hari mulai hari ini. Sumber: Mymetro – Editor: Amylea Nazrul