Tertarik Tawaran Harga Murah, 15 Ditipu Pasangan Suami Isteri



PUTRAJAYA : Seramai 15 orang penduduk di Putrajaya mendakwa ditipu oleh sepasang suami isteri yang menawarkan pakej pemasangan kabinet dapur dan almari dengan harga murah tetapi gagal menyiapkan kerja tersebut dan menyebabkan penduduk mengalami kerugian ribuan ringgit.

Kebanyakan mangsa yang terdiri dari kakitangan awam yang baru saja mampu memilki kediaman sendiri di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Presint 6, Presint 11 dan Presint 17.

Kerugian mangsa di anggarkan antara RM7,000 hingga RM10,000 bergantung kepada permintaan serta pakej pemasangan yang dibuat di rumah mereka.

Salah seorang mangsa yang hanya ingin di kenali sebagai Imah 34 berkata, beliau membuat carian di internet terlebih dahulu berkenaan khidmat pasangan suami isteri tersebut dan tidak melihat apa-apa komen atau aduan mengenai syarikat berkenaan, setelah itu barulah beliau membuat keputusan untuk berurusan dengan pasangan tersebut.

"Selepas itu, saya berurusan dengan isteri kontraktor itu dan dia menawarkan pelbagai pakej seterusnya saya bersetuju serta membuat pembayaran.

"Pembayaran dibuat menerusi akaun wanita itu dan bukannya nama syarikat, kemudian urusan dengannya selesai manakala suaminya mengambil alih untuk proses pemasangan di rumah," katanya ketika ditemui Harian Metro di Putrajaya.

Imah menyatakan, masalah tersebut timbul setelah wang pendahuluan telah dimasukkan ke dalam akaun bank isteri pasangan terbabit tetapi semua pemasangan gagal disiapkan, malahan pasangan terbabit langsung tidak datang kerumahnya.

Usaha menghubungi pasangan suami isteri tersebut gagal kerana pasangan terbabit tidak menjawab panggilan dan tidak mahu memberikan kerjasama maka mangsa terpaksa bertindak menyebarkan gambar serta aktiviti penipuan mereka di Facebook bagi mengelakkan lebih ramai lagi menjadi mangsa pasangan itu.

Setelah statusnya dikongsi satu persatu mangsa tampil menyatakan mereka turut ditipu oleh pasangan yang sama malahan ada yang telah ditipu pada tahun 2009 oleh orang yang sama.

Kakitangan swasta, Noor Ares Fadillah Abdullah, 42, yang datang dari Bandar Nusaputra, Puchong berkata, dia dan isteri antara mangsa penipuan kontraktor terbabit pada 2009.

Berikutan itu, katanya, mereka mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna namun ia tidak dapat di jalankan kerana pasangan suami isteri itu melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima dua laporan daripada mangsa di Putrajaya.

"Kes berkenaan sedang dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Justeru, sekiranya ada lagi mangsa di Putrajaya, mereka dinasihatkan segera membuat laporan polis," katanya.

Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)  berkata pihaknya bersedia memberikan pertolongan kepada kesemua mangsa terbabit yang ditipu syarikat kontraktor pasangan suami isteri tersebut.

"Mereka boleh hadir ke pejabat kami untuk berbincang masalah dihadapi dengan kami," katanya.


Pada 2 Januari 2014, Harian Metro melaporkan, niat suami isteri untuk membantu kenalan menerusi kontrak ubah suai rumah bertukar sesalan selepas ditipu menyebabkan kerugian RM35,000.