Ahad, 14 Januari 2018

Tidak Kering Gusi Di Buatnya


CETUSAN idea untuk menyusun ayat-ayat yang lucu dan lagak suara seperti seorang juruterbang itu timbul secara spontan serta tidak mengikut skrip.

Dia yang berkhidmat untuk Sani Ekspress sejak lapan tahun lalu berkata, tindakan itu adalah inisiatifnya sendiri dan bukan tugasan wajib yang ditetapkan oleh syarikat.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, videonya yang tular sejak minggu lalu, menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang dia memegang karier sebagai pemandu bas.

“Memang ramai yang tegur, dah macam naik 'flight' (kapal terbang),” kata Bahari Din, 58, pemandu bas Sani Ekspress selepas videonya membuat pengumuman sebelum perjalanan tular di laman sosial.

Bahari berkata, sudah menjadi tugasnya untuk membuat pengumuman yang jelas setiap kali mahu memulakan perjalanan.

"Sepanjang 14 tahun pengalaman memandu bas ekspres, banyak kejadian penumpang tertinggal barang, tertidur dan terlepas stesen yang sepatutnya dia turun.

"Jadi sejak beberapa tahun saya mengambil inisiatif untuk membuat pengumuman setiap kali mahu memulakan perjalanan dan setiap stesen yang saya berhenti," katanya ketika dihubungi.

"Bagi saya, biarpun memandu lebih enam jam sekalipun, penat itu hilang apabila penumpang menghargai dan menghormati pesanan yang disampaikan.

"Perkara yang saya sampaikan itu sebenarnya penting mengenai perancangan perjalanan bagi memudahkan penumpang untuk menguruskan jadual mereka di mana mereka mahu makan atau buang air.

"Saya memang sudah biasa berborak dengan penumpang ketika memandu, malah pernah juga berceloteh pada pembesar suara di dalam bas sepanjang perjalanan," katanya yang berasal dari Tunjang, Kubang Pasu, Kedah.

Sementara itu, Pengasas Sani Ekspress Sdn Bhd, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh berkata, sebagai penambahan kepada mutu khidmat pelanggan, pengumuman sebelum dan selepas perjalanan adalah digalakkan.

"Sejak dulu lagi Sani Ekspress mengadakan latihan serta kursus untuk pemandu supaya sentiasa mesra penumpang sehingga dianugerahkan syarikat pengangkutan pertama terbaik yang bertaraf lima bintang.

"Pakcik Bahari antara salah seorang pemandu terbaik syarikat dan menjadi contoh kepada pemandu lain kerana usahanya yang sentiasa mahu menarik perhatian penumpang," katanya ketika dihubungi. Sumber: Mymetro - Editor: Amylea Nazrul