Tidak Sangka Budak Yang Jatuh Dari Tingkat Tujuh itu Adalah Anak Kandung Sendiri


KETIKA kejadian berlaku pada 7.30 pagi itu, mangsa tinggal berdua bersama adik lelakinya di dalam rumah, manakala bapanya menghantar tiga lagi abangnya ke sekolah.

Budak lelaki berusia enam tahun parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam, hari ini.

Kejadian hanya disedari bapa mangsa berusia 40-an selepas pulang ke rumah dan mendapati anaknya sudah terbaring di bawah pangsapuri berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Seorang saudara yang enggan dikenali berkata, mangsa dan adiknya itu sedang tidur di dalam bilik ketika bapanya mahu menghantar tiga lagi abangnya ke sekolah.

Menurutnya, pintu rumah berkenaan dikunci namun sebaik bapa mangsa pulang ke rumah untuk menghantar mereka ke pusat asuhan kanak-kanak, mangsa tiada di dalam biliknya dan hanya adiknya saja yang masih tidur.

"Bapanya kemudian turun ke pondok pengawal dan bertanyakan mengenai anaknya, namun mereka tidak melihat kanak-kanak itu.

"Bagaimanapun, dia menemui anaknya sudah terbaring di bawah pangsapuri berkenaan dan tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Katanya, mangsa dihantar ke klinik di Meru untuk menjalani pemeriksaan sebelum dibawa ke HTAR kerana keadaannya kritikal.

Tinjauan Harian Metro di Zon Kritikal HTAR mendapati suasana suram dan sedih di kalangan ahli keluarga yang datang ke hospital berkenaan dan mereka enggan ditemui pihak media.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata kanak-kanak itu parah selepas cedera di kepala, tangan kanan, serta bahagian dalaman di paru-paru dan perut.Sumber: Mymetro - Editor: Amylea Nazrul