Sabtu, 13 Januari 2018

Tiga Juruteknik Dan Seorang Penjawat Awam Direman Kerana Rasuah


SEREMBAN - Empat lelaki ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di Johor kerana disyaki bersubahat dengan kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menerima rasuah.

Suspek yang berusia 23 hingga 32 dipercayai alam urusan membawa keluar drop fiber jenama Lite Kabel milik TM untuk dijual di pasaran antara 2016 dan 2017.

Tiga daripada suspek merupakan orang awam yang bertugas sebagai juruteknik pemasangan manakala seorang lagi merupakan pembantu makmal di sebuah sekolah.

Sehubungan itu, SPRM membawa keempat-empat lelaki terbabit ke Mahkamah Khas Reman Seremban sebentar tadi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim mengemukakan permohonan dan dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Seremban, Emysuriana Muhammad Subry.

Kes berkenaan melibatkan amaun suapan sebanyak RM7650 dan kesemua suspek ditahan mulai hari ini hingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.

Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10000 atau mana-mana hukuman yang lebih tinggi jika disabit kesalahan. Sumber:Sinar Harian , Editor:Farhana