20 Jan 2018

Wany Hasrita Dikecam Peminat, Gara-gara Tema AJL 32


Wany Hasrita yang dikenali sebagai penyanyi menerusi lagu menahan rindu menjelaskan perubahan fesyen yang ditampilkan olehnya menerusi poster promosi Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) adalah kerana mengikut tema.

Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, bertanding menerusi lagu Menahan Rindu di pentas AJL 32 yang bertemakan Fesyen dan Muzik.

Wany akui ramai yang menegur fesyennya selepas poster tersebut dikeluarkan dengan mengatakan ada yang memberi komen negatif dan ada juga yang memuji.

"Saya hanya mengikut tema AJL 32 dan busana yang saya sarungkan pun tidak keterlaluan, masih sopan dan menutup aurat.

"Bagi saya, sudah tiba masanya saya lebih menjaga penampilan dan bergaya mengikut kesesuaian majlis. Namun begitu, jika tiada sebarang acara, saya masih Wany yang anda semua kenali.

"Saya lebih gemar bergaya dengan jeans dan t-shirt serta menggayakan tudung secara ringkas jika tiada sebarang acara yang perlu dihadiri," kata Wany kepada Astro Gempak.

Wany berkata tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut apabila menerima komen negatif selepas memuat naik poster berkenaan di laman Instagram miliknya.

"Komen yang negatif itu ada. Saya tidak mahu membacanya dan memadamkan komen tersebut. Jika ia melampau, saya hanya menyekat mereka.

"Saya mahu kekal positif menjelang AJL 32. Daripada memikirkan mengenai perkara yang tidak sepatutnya, lebih baik saya berlatih dengan lebih baik untuk persembahan," katanya lagi.

AJL 32 bakal berlangsung pada 11 Februari 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan bakal dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Alhadad. Sumber:Astro Gempak , Editor:Farhana



Advertiser