Bunuh Ikan Yang Hampir Pupus Di Hadapan Pelancong


SABAH: Sekumpulan pelancong dikejutkan dengan satu kejadian apabila mereka terpaksa menyaksikan beberapa jenis ikan dibunuh di depan mata.

Ikan-ikan tersebut dipercayai adalah jenis ikan yang terancam dan juga merupakan ikan yang sukar untuk ditemui serta hampir pupus.

Difahamkan, pembunuhan itu telah membabitkan dua ekor ikan pari manta iaitu sejenis ikan pari gergasi yang tersenarai sebagai ikan yang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

Rata-rata pelancong yang berada di tempat kejadian seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi dan ada juga dalam kalangan mereka yang turut mengambil gambar serta merakam video sehingga ianya menjadi viral di laman sosial.

Menurut Pengerusi Persatuan Perlindungan Jerung Sabah, Aderick Chong, beliau menyatakana bahawa ikan pari manta yang dibunuh itu adalah Manta birostris iaitu sejenis ikan pari yang terbesar di dunia di mana ianya adalah sejenis spesis terancam, sementara ikan yang lain adalah Devil Rays.

"Saya sangat kecewa selepas mendapat tahu tentang perkara ini, terutama sekali selepas langkah positif diambil Jabatan Perikanan sebelum ini untuk melindungi hidupan laut."

"Ramai pelancong datang ke Sabah saban tahun bagi menyaksikan hidupan liar yang unik, jadi kami menggesa kita melindungi hidupan laut di sini."

"Perlindungan yang lebih ketat bukan hanya akan membantu ekosisem laut kita, ia juga akan mengukuhkan industri pelancongan negara," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan pelancong yang datang melawat Sabah hanyalah datang semata-mata untuk melihat hidupan terancam tersebut dan ada juga dalam kalangan mereka yang berasa terkilan apabila perkara ini berlaku.

Ujarnya lagi, pihak berkuasa mahupun pihak kerajaan harus mengambil salah satu cara kreatif di mana mereka perlu menggiatkan kesedaran dalam kalangan nelayan di sekitar Sabah supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

"Kita perlu memastikan segala pendapatan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan ke kawasan itu turut sampai kepada komuniti tersebut memandangkan pendapatan hidup mereka hanya dengan memancing hidupan-hidupan terancam itu."

Bagaimanapun, setakat hari ini hanya ikan yu paus dan ikan yu todak yang telah tersenarai di dalam senarai terancam di bawah Akta Perikanan 1985. Sumber: Mynewshub, Editor: Iera