Detik Cemas Diganggu Pemandu Teksi Gara-Gara Guna Uber.


Pada zaman yang serba canggih ini, perkhidmatan Uber dan Grab semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pengguna kerana perkhidmatan ini menawarkan harga yang berpatutan dengan servis selama 24 jam.

Malahan, ramai yang menggunakan kedua-dua servis ini kerana bagi mereka perkhidmatan ini menyenangkan kehidupan mereka serta mereka juga sudah muak dengan kerenah pemandu teksi yang disifatkan sebagai cekik darah.

Ini kerana pemandu teksi bukan hanya enggan menggunakan meter, segelintir pemandu teksi juga turut menolak permintaan penumpang jika dirasakan jalan yang hendak dilalui itu sesak atau terlalu jauh.

Berikut merupakan kisah yang dikongsikan oleh seorang gadis yang dikenali sebagai Alis Khairani mengenai kisahnya yang agak menakutkan apabila dia terpaksa berhadapan dengan pak cik teksi yang agak menakutkan gara-gara dia memilih perkhidmatan Uber.

Pada mulanya, gadis ini memberitahu bahawa ketika kejadian itu berlaku, dia sedang berada di KTM Batang Benar, Negeri Sembilan.

Akibat ingin segera menuju ke lokasi lain, dia segera menelefon Uber.

Namun sebaik sahaja kereta Uber itu sampai, kereta tersebut dihalang daripada memasuki kawasan tempat menunggu kerana beberapa orang pemandu teksi memberitahunya bahawa Uber tidak boleh memasuki kawasan berkenaan.
  

Akibat daripada perkara itu, beberapa pemandu teksi bertindak dengan menghampiri kenderaan pemandu Uber berkenaan.


Sebaik sahaja mendekati kereta Uber berkenaan, pemandu Uber tersebut telah diberikan satu notis dipercayai telah dicetak oleh pemandu teksi berkenaan.

Salah seorang pemandu teksi kemudiannya memberitahu kepada pemandu Uber itu bahawa sebarang perkhidmatan Uber mahupun Grab dilarang masuk untuk mengambil penumpang di kawasan berkenaan seperti yang tercatat di dalam notis yang dicetak itu.
  

Dalam pada masa yang sama, gadis itu juga menceritakan bahawa ada seorang pemandu teksi yang lain bertindak membuka pintu kereta dan segera menyuruh gadis tersebut keluar.

Bagaimana pun, gadis tersebut berasa terkejut dengan tindakan tersebut dan enggan keluar daripada kereta terbabit.

Namun, secara tiba-tiba pemandu Uber itu memberitahu bahawa dia tidak boleh menghantar gadis berkenaan ke destinasi yang hendak ditujunya. 

Gadis itu berasa terkejut dan segera keluar apabila di pinta.


Sebaik sahaja keluar, sekumpulan pemandu teksi kemudiannya menjerit-jerit kepada gadis terbabit dengan berkata bahawa dia tidak boleh menggunakan perkhidmatan Uber di sana.

Jika gadis itu masih berkeras untuk pergi, dia perlulah menaiki teksi atau bas sahaja.

Kerana masih lagi bingung dengan kejadian tersebut, gadis itu berjalan keluar daripada stesen KTM terbabit dan tidak terdaya untuk melakukan apa-apa.


Menyedari gadis tersebut cuba untuk keluar daripada kawasan terbabit, seorang pemandu teksi cuba mengikutinya daripada belakang dan memberitahu berulang kali bahawa dia tidak boleh menggunakan Uber. 

Tetapi gadis tersebut menafikan dakwaan terbabit dan memberitahu bahawa dia bukannya menelefon Uber tetapi dia cuba menghubungi rakannya untuk datang menjemput dia di situ.

Oleh kerana tidak percaya, seorang pemandu menyuruh gadis tersebut membaca notis yang sama yang telah diberi kepada pemandu Uber sebelum itu.
  

Namun, gadis tersebut cuba menolak tetapi dia terkejut apabila mendapati bahawa perbuatannya itu sedang dirakam dengan menggunakan telefon oleh pemandu teksi berkenaan.

Dalam pada masa yang sama, pemandu teksi itu juga turut mengugut gadis berkenaan bahawa gadis itu tidak akan mampu menyambung belajar jika masih degil mengikut arahan mereka.
  

Gadis itu berasa sangat takut kerana ketika kejadian itu berlaku dia berseorangan dan tidak mampu memohon bantuan daripada sesiapa kerana gerak-gerinya itu sedang di perhatikan.

Paling menakutkan adalah ketika menunggu rakannya untuk menjemputnya dari stesen itu, salah seorang pak cik teksi berkenaan terus mengikuti gadis tersebut di mana sahaja dia berada.

Semuanya itu adalah untuk memastikan bahawa gadis itu tidak menghubungi Uber.

Peristiwa ini merupakan satu peristiwa dahsyat yang berlaku kepada gadis berkenaan.

Diharap selepas ini para gadis di luar sana lebih berhati-hati dan elakkan berjalan berseorangan dan jika perbuatan itu berlaku segera laporkan kepada pihak berkuasa. Sumber: Oh Bulan, Editor: Ira