Sabtu, 3 Februari 2018

Dihanyut Arus Ketika Menjaring Ketam Bunga.


PORT DICKSON: Padah buruk telah menimpa seorang lelaki yang berusia 40 tahun apabila dia telah lemas ketika sedang menjaring ketam bunga atau ketam laut di persisiran pantai Port Dickson pada awal pagi ini.

Mangsa iaitu Shaiful Zaman Abdul Jabbar dikatakan melakukan aktiviti tersebut bersama beberapa ahli keluarga dan rakannya dan kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.25 pagi.

Menurut laporan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, mangsa bagaimanapun tidak bernasib baik apabila dia lemas akibat dihanyut oleh arus air laut.

"Mangsa yang masih bujang bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya menjaring ketam di hadapan Kompleks Pentadbiran Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.”

"Kelima-lima mereka tiba-tiba dihanyutkan air laut dan hanya empat daripada mereka berjaya naik semula ke daratan," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, mangsa yang maut itu dipercayai tinggal di Rumah Rakyat Dusun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Oakland Seremban.

Mayat mangsa bagaimanapun telah berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pada pukul 7.07 pagi dan mayatnya itu telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Dalam pada masa yang sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis memberitahu bahawa pihaknya telah menerima maklumat tentang insiden itu sekitar jam 3.03 pagi.

Sebaik sahaja panggilan diterima, pihak bomba telah mengerah seramai 13 pegawai dan anggota bersama beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Teluk Kemang dikerahkan memberi bantuan.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan dihanyutkan air," katanya. Sumber: Kosmo, Editor: Ira