Jumaat, 2 Februari 2018

Gelaran Datuk Sempena Hari Wilayah Buat Syafinaz Selamat


KUALA LUMPUR: Penyanyi Syafinaz Selamat telah dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk hari ini.

Pingat berkenaan telah dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Difahamkan, pingat berkenaan telah dibuat berdasarkan sumbangan Syafinaz kepada pembangunan Wilayah Persekutuan.

Syafinaz, 45, yang juga merupakan seorang konduktor dan guru vokal itu dipercayai terlibat sebagai konduktor dan ‘vocal master’ untuk Koir Permata Seni.

Syafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu, juga merupakan salah seorang pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal 'master' untuk Koir Kebangsaan Malaysia.

Sebelum ini, Syafinaz juga pernah menjadi juri bagi program nyanyian seperti Malaysian Idol dan AF Megastar

Turut menerima anugerah yang sama ialah 69 individu lain, termasuk Pengarah Muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi.

Dalam pada masa yang sama, seramai 39 individu telah dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 71 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 74 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 94 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW)

Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang bermula sejak 2008 itu adalah satu usaha bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga Wilayah Persekutuan yang telah berjasa untuk membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Penganugerahan ini dikatakan bukan sahaja diberikan kepada warga Wilayah Persekutuan namun ianya juga turut mengiktiraf mereka yang tidak bermastautin tetapi menabur bakti kepada pembangunan Wilayah Persekutuan. Sumber: Astro Awani, Editor: Amira