Jururawat Bawa Dadah Ditahan Polis


Seorang jururawat wanita yang berusia 27 tahun telah ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek di tahan di tepi jalan di hadapan rumah di Jalan Wangsa Budi 11, kira-kira 9 pagi.

"Ketika pemeriksaan terhadap suspek, anggota polis menemui beg kertas yang dipegang oleh suspek mengandungi lapan ketulan mampat serta leraian daun-daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

"Ia dianggarkan seberat 255.49 gram bernilai lebih kurang RM850, suspek kemudian ditahan untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Menurut Roy, keputusan ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis THC.

"Selain daripada lapan ketulan dipercayai ganja yang ditemui pada suspek, polis turut menemui satu botol kaca berwarna kuning, papan plastik warna putih serta sebilah pisau disyaki untuk tujuan pembungkusan dan peralatan menghisap dadah.

Hasil siasatan terhadap identiti suspek tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau.

Suspek turut mengaku bahawa dia telah mengambil bekalan dadah dengan seorang lelaki di Kota Damansara dan sudah berurusan sejak lima bulan lalu.

Roy berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber:myMetro , Editor:Anna