Kanak-Kanak Sembilan Tahun Maut Akibat Didera


PORT DICKSON: Akibat didera, seorang kanak-kanak perempuan yang baru sahaja berusia sembilan tahun telah meninggal dunia dalam satu kejadian di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

Kanak-kanak yang tidak bernasib baik itu dipercayai telah didera oleh bapa kandungnya sendiri dan juga ibu tirinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad, kanak-kanak itu telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 11.30 malam tadi oleh bapanya sebelum dia dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Sebaik sahaja tiba di hospital sekitar 12.30 malam, mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan bapa mangsa tampil membuat laporan polis.

Pada awalnya, kes ini klasifikasikan oleh pihak polis sebagai mati mengejut.

Namun, selepas bedah siasat dijalankan, kematian kanak-kanak itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

"Hasil bedah siasat mendapati, terdapat kesan lebam pada badan kanak-kanak tersebut serta kecederaan pada organ dalaman.”

"Antara kecederaan termasuk kerosakan pada buah pinggang, kedua-dua rusuk kiri dan kanannya patah, kecederaan pada usus besar, serta kesan koyakan dalaman pada bahagian paha, dipercayai dipukul dengan objek tumpul," tambahnya.

Susulan daripada perkara itu, pihak polis telah berjaya menahan bapa kanak-kanak itu, yang merupakan seorang anggota tentera, dan ibu tiri mangsa yang tidak bekerja, di mana kedua-duanya berusia dalam lingkungan 30-an.

Dalam pada masa yang sama, mayat kanak-kanak malang itu akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

Kedua-dua suspek yang merupakan ibu bapa kepada mangsa dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pada Jun tahun lalu, ibu kandung kepada mangsa yang juga merupakan seorang anggota tentera pernah membuat laporan polis selepas mendapati mangsa yang berada di bawah jagaan bekas suaminya, mempunyai kesan lebam pada beberapa bahagian badan.

Kes ini bagaimanapun telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Seremban tetapi ia diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) pada 24 Julai atas alasan suspek memukul mangsa atas dasar ingin mengajar mangsa. Sumber: Astro Awani, Editor: Amira