Pemuda Sakit Asma Kronik Dan Sawan Sejak Kecil Berdikari Dengan Jaja Kerepek


KOTA BHARU - Mohamad Firdaus Zakaria, 26, seorang pemuda yang menghidapi asma kronik dan sawan sejak kecil dan pernah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 53 kali.

Namun sakitnya itu tidak mematahkan semangatnya untuk hidup berdikari dengan menjaja pelbagai kerepek di sekitar Jalan Dato Pati sebagai punca pendapatan.

Katanya sakit yang dihidapi itu bukan penghalang untuk dia terus bekerja dan tidak menjadikan alasan untuk tidak mahu bekerja.

Firdaus sudah menganggap Hospital Raja Perempuan Zainab II sebagai rumah keduanya kerana banyak menghabiskan masa disitu sejak berusia satu tahun lagi.

Anak kesembilan daripada 11 beradik itu berkata dia sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa sejak umurnya 11 tahun untuk menjaja ketika cuti sekolah.

Dia sudah dikenali kebanyakan peniaga di situ kerana sudah menjaja selama 15 tahun.

“Kini, saya masih lagi bekerja seperti ini kerana berasa gembira dan bersemangat apabila dapat bertemu dengan ramai orang, selain mencari rezeki sendiri dengan pendapatan RM50 sehari.

“Setiap hari, seawal jam 6.45 pagi saya akan keluar dari rumah di Kampung Raja Lubok Chekok, Pasir Mas dengan mengayuh basikal sejauh satu kilometer untuk menaiki teksi ke stesen bas Pasir Mas sebelum menaiki bas ke Kota Bharu.

“Menggunakan modal RM20 sehari, saya membeli kerepek di Pasar Siti Khadijah sebelum menjaja di tempat tumpuan seperti ke restoran, stesen bas dan perhentian teksi,” katanya yang pernah beberapa kali diserang sawan dan pengsan ketika menjaja.

Ekoran dari penyakitnya itu, Mohd Firdaus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai tanda nama dengan tertera nama penyakitnya acute exacerbation of bronchial asthma (AEBA) bagi memudahkan orang ramai membantunya sekiranya dia tidak sedarkan diri. Sumber:Harian Metro , Editor:Anna