Remaja Ditahan Kerana Buang Bayi Dalam Semak


KUALA PILAH – Dalam era dunia tanpa sempadan kini, seringkali kita dengar masalah yang melibatkan akhlak, sahsiah dan moral termasuk kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja.

Perkara demikian turut berlaku kepada seorang pelajar sekolah tingkatan empat disebuah sekolah di Jempol dan telah ditahan polis apabila perbuatannya itu terbongkar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah pada malam Isnin.

Remaja itu telah melahirkan bayinya itu pada 21 Februari di dalam tandas rumah ibu bapanya di Felda Palong 8, Jempol dan bertindak menggunting sendiri tali pusat bayi itu.

Setelah 15 minit kemudian, bayi itu didapati tidak bernafas lagi dan remaja itu bertindak membuang bayinya ke dalam longkang besar kawasan semak berhampiran rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superitendan Azham Shah Azlan berkata pihaknya menerima maklumat daripada Pejabat Pertanyaan Balai Polis Melang tengah malam kelmarin memaklumkan seorang remaja perempuan menerima rawatan di HTAN dan pegawai perubatan mendapati bahawa pelajar itu mempunyai kesan baru melahirkan anak.

Difahamkan pelajar itu pergi mendapatkan rawatan ke Klinik Kesihatan berhampiran bersama bapanya setelah mengadu berasa sakit dan memaklumkan dia terjatuh ketika menyertai sukan sekolah, pada 23 Februari.

Hasil pemeriksaan di klinik kesihatan tersebut, pelajar itu didapati terdapat kesan darah beku di dalam perutnya dan tiga hari kemudian pada 26 Februari ibunya pula menemani beliau mendapatkan rawatan di HTAN.

Hasil soal siasat remaja itu mengaku telah menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya sejak empat tahun lalu dan telah mengadakan hubungan seks beberapa kali.

Polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 18 tahun hasil dari maklumat yang diberikan remaja itu.

Kes itu disiasat mengikut seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian. Sumber:Astro Awani , Editor:Anna