Surat Terakhir, Remaja Bunuh Diri Dituduh Curi iPhone.


GEORGE TOWN- Seorang remaja yang bersekolah di salah sebuah sekolah di Pulau Pinang telah meninggal dunia awal pagi semalam, 1 Februari, akibat kecederaan otak selepas cubaan bunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.

Berita itu disampaikan oleh Presiden Tamiliar Kular Malaysia, David Marshel Pakianathan selepas melawat jenazah M Vasanthapiriya di Hospital Seberang Jaya.

“Kita harap mendiang akan menerima keadilan,” kata David dalam video dimuat naik di Facebook.

“Kita harap perkara ini tidak akan berlaku pada mana-mana murid sekolah di Malaysia. Saya harap semua pelajar dan belia jangan mengambil keputusan untuk membunuh diri. Segala masalah kita boleh selesaikan, jika kita berkongsi masalah kita dengan pihak yang betul.

“Hari ini kita kehilangan disebabkan beberapa faktor, salah satunya sekolah tidak mengamalkan SOP yang sepatutnya,” tambah David, yang juga ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurut David, Vasanthapiriya mengalami tekanan darah rendah pada 7.30 malam kelmarin, dan keadaannya bertambah buruk kira-kira jam 3.00 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Laporan polis mengatakan salah seorang anggota keluarga mangsa memberitahu dia dipanggil oleh 3 orang guru pada Rabu minggu lepas kerana mengesyaki mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik salah seorang guru di SMK Methodist.

Menurut laporan polis itu, remaja itu menafikan tuduhan itu lalu salah seorang guru memukul belakang tubuhnya di hadapan pelajar-pelajar lain, sebelum dikurung dalam sebuah bilik di kuarter pejabat guru selama 5 jam, tanpa makanan atau dibenarkan ke tandas.

Suami guru yang hilang telefon bimbit itu tiba di sekolah pada jam 6.45 petang lalu mengancam Vasanthapiriya untuk membawanya ke balai polis sekiranya tidak mahu mengaku.

Kemudian mereka membawa mangsa pulang ke rumahnya untuk bertemu ibu bapanya yang terletak berhampiran dengan sekolah.

Setelah tiba di rumah, Vasanthapiriya lari ke biliknya, sementara ibu bapanya berbincang di luar rumah bersama penuduh untuk menyelesaikan.

Bapanya pulang ke rumah pada 8.20 malam dan memanggil Vasanthapiriya namun tiada jawapan dari remaja itu lalu bapanya memecahkan pintu bilik.

Mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi masih bernyawa sedang tergantung pada sehelai selendang  yang diikat pada paip penghawa dingin, dan kakinya tersentuh pada lantai.

Salah seorang daripada kawan rapat mangsa sebelum ini mendakwa penuduh mungkin mengesyaki Vasanthapiriya selepas melihat rakaman CCTV yang memaparkan seseorang berambut panjang sepertinya di pejabat guru.

Kawan itu berkata guru itu semakin sangsi apabila remaja itu pergi ke pejabat untuk meletakkan buku latihan di mejanya.

“Dia kumpul buku latihan dari kami dan dia secara sukarela mahu meletakkannya di meja guru. Jadi, saya rasa sebab itu guru mengesyaki Vasanthapiriya."katanya 

Keluarga mangsa begitu sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku dan mahu menegakkan keadilan atas kematian mangsa.

"Telefon bimbit yang hilang kononnya dicuri mangsa dijumpai tercicir di kedai makan namun bagaimana dengan anak saudara saya yang kini sudah meninggal dunia?

"Telefon bimbit yang hilang kononnya diambil mangsa itu sebenarnya tercicir di sebuah kedai makan sebelum mereka menuduh anak saudara saya mengambilnya.

"Telefon bimbit sudah dijumpai, bagaimana dengan nyawa mangsa,” kata A Lalitha, ibu saudara M. Vasanthapiriya.

Menurut wanita itu, anak saudaranya seorang yang sangat sensitif dan mungkin tertekan kerana dimarahi di hadapan pelajar lain atas kesalahan yang tidak dilakukan.

Difahamkan guru yang terlibat telah dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) Seberang Prai Selatan susulan kes berkenaan. Editor:Farhana