Isnin, 26 Februari 2018

Suspek Curi Motosikal Di Stesen Minyak Ditahan, Seorang Daripada Mereka Merupakan Penjawat Awam



TAPAH- Empat orang suspek ditahan ekoran dari kes kecurian motosikal di sebuah stesen minyak di Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Tapah (arah Selatan) dan salah seorang daripada mereka adalah penjawat awam.

Rakaman CCTV di stesen minyak tersebut mengenai perbuatan mereka tular di media sosial membawa kepada penangkapan mereka pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Team Lejang IPD Tapah dan dibantu anggota Task Force Balai Polis Bidor pergi ke sebuah rumah di Kampung Petalin Baru, Bidor dan berjaya menahan dua lelaki berusia 22 dan 30 kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal terbabit.

“Hasil tangkapan suspek membawa kepada penemuan sebuah rangka motosikal dan sebuah enjin motosikal yang mempunyai nombor casis di hadapan rumah tersebut.

“Pemeriksaan ke atas nombor casis rangka dan enjin motosikal tersebut dapati masih dilaporkan hilang bersangkut Tapah report,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pihak polis berjaya menemui pelbagai komponen motosikal yang dileraikan dalam sebuah van Nissan Vanette di hadapan rumah suspek dan merampas kesemua barang-barang tersebut.

Som Sak berkata pada hari yang sama juga anggotanya berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 dan 23 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes pencurian motosikal.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Februari ini bagi membantu siasatan pihak kami.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan,” katanya. Sumber: Sinar Harian , Editor:Anna