Tiga Lelaki Warga Filipina Ditembak Mati Pihak Berkuasa.


TAWAU - Tiga lelaki telah mati ditembak oleh pihak berkuasa dalam satu kejadian tembak menembak yang dipercayai berlaku di kawasan ladang kelapa sawit Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau pada petang semalam.

Ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan warga Filipina dan difahamkan mereka itu memang menjadi buruan polis kerana telah melakukan pelbagai jenayah.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, kejadian tersebut dianggarkan berlaku pada jam 3.20 petang apabila pihak berkuasa berusaha sedaya upaya untuk berbalas tembakan dengan suspek.

Difahamkan, kesemua suspek tersebut mempunyai senjata api jenis rifel dan revolver di mana senjata itu disimpan oleh mereka di dalam kereta yang dinaiki.

"Kejadian itu berlaku selepas sepasukan polis mengekori sebuah kereta kancil berwarna putih yang dinaiki tiga suspek dalam keadaan mencurigakan dan apabila suspek menyedari diekori polis kereta suspek memecut ke arah Batu 3 Kalabakan-Keningau dan membelok masuk ke sebuah ladang sawit sebelum berhenti."

"Semasa pasukan polis cuba mendekati kenderaan suspek, kelihatan suspek mengacukan senjata api dan telah melepaskan tembakan ke arah polis," katanya.

Tambahnya lagi, seorang suspek telah keluar untuk melarikan diri daripada pihak polis sambil melepaskan tembakan ke arah polis dengan menggunakan senjata panjang.

Namun, sebelum kelibatnya hilang, pihak polis sempat melepaskan tembakan dan suspek disahkan meninggal di tempat kejadian.

Kesemua suspek itu berjaya ditembak apabila pihak polis berjaya menembak suspek yang masih berada di dalam kereta Kancil yang dinaiki mereka.

Pihak polis menganggarkan bahawa kesemua suspek yang berjaya dibunuh itu masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an.

Kesemua mayat suspek bagaimanapun telah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Sumber: Sinar Harian, Editor: Iera