Wanita Dikuburkan Selama 11 Hari Cuba Meronta Keluar Dari Keranda


BRAZIL: Seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia dikatakan cuba keluar daripada kerandanya ditemui dalam keadaan masih bernyawa selepas dia disahkan telah dikebumikan selama 11 hari namun akhirnya mati semula selepas beberapa hari dikeluarkan daripada keranda.

Menurut saksi, mangsa iaitu Rosangela Almeida dos Santos, 37, dikatakan telah mencuba untuk membebaskan dirinya daripada keranda yang tertutup rapat dan dipaku itu namun tindakannya langsung tidak berjaya.

Kejadian ini telah menjadi tular di Brazil di mana saudara-mara wanita terbabit masing-masing bertungkus lumus untuk membuka keranda terbabit bagi menyelamatkan mangsa.

Saudara-maranya dikatakan telah menerima satu aduan mengenai perkara ini daripada seorang saksi yang terdengar suara jeritan di kawasan perkuburan Riachao da Neves.

Ketika membuka keranda terbabit, mereka bagaimana pun hanya menemui jasad wanita itu yang sudah dalam kedudukan yang berbeza serta kapas yang di sumbat di bahagian kepalanya sudah tertanggal.

Selain itu, tangan dan dahi Rosangela juga turut berdarah, dan ini telah membuktikan bahawa dia telah berusaha untuk membebaskan dirinya dengan menumbuk, mencakar dan menghantukkan kepala dari dalam keranda itu.

Menceritakan mengenai saat pengebumiannya, ahli keluarganya menyangka bahawa dia telah meninggal dunia akibat ‘kejutan septik’ selepas dua serangan kardiak dan mayatnya telah dikebumikan pada 28 Januari yang lalu.

Berdasarkan keterangan daripada seorang saksi iaitu Natalina Silva, dia memberitahu bahawa dia ada terdengar jeritan Rosangela selepas 11 hari pengebumiannya.

"Apabila saya berdiri di depan kuburnya, saya terdengar bunyi hentakan kuat dan berulang dari dalam."

"Mula-mula saya sangkakan ada kanak-kanak yang bergurau dengan saya di kawasan itu. Kemudian saya terdengar suara dengusan kuat, " katanya.

Dalam pada masa yang sama, pihak media tempatan turut melaporkan bahawa seramai 500 orang telah membanjiri kawasan itu dan ada juga sebahagian daripada mereka cuba untuk memukul kubur Rosangela.

Sejurus selepas tubuh Rosangela berjaya dikeluarkan, semua orang yang datang ke tempat berkenaan mahu menyentuhnya.

Tambahan pula, ketika mereka cuba menyentuhnya mereka mendapati bahawa suhu tubuh Rosangela masih lagi hangat, namun dia sudah benar-benar tidak bernyawa lagi.

Pihak polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu dikatakan akan menyoal siasat keluarga Rosangela termasuk mengumpul data klinikal daripada pihak hospital.

Semua penduduk di sekitar Brazil dikatakan sedang menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis bagi menjawab segala persoalan yang bermain di minda mereka.

Mereka juga berharap agar pihak berkuasa dapat merungkai kejadian aneh yang jarang berlaku dengan secepat mungkin. Sumber: Astro Awani, Editor: Iera