Rabu, 28 Februari 2018

Wanita Mexico Kahwini Pokok Kerana Bosan Dengan Lelaki.


MEXICO: Oleh kerana bosan mengejar cinta lelaki, sekumpulan wanita nekad menikahi pokok semata-mata kerana cinta mereka untuk menyelamatkan bumi. 

Itulah situasi yang berlaku apabila lebih daripada 30 wanita yang merupakan aktivis kepada kesejahteraan bumi sanggup berjanji untuk hidup semati dengan pokok yang terpilih untuk meneruskan kehidupan mereka. 

Peristiwa ini dikatakan telah berlaku di San Jacinto, Ampilas, Wilayah Oaxaca pada Ahad yang lalu di mana ia menunjukkan wanita tersebut berpakaian serba putih sebagai pakaian pengantin mereka. 

Perkahwinan itu juga telah dijalankan mengikut mazhab Katholik di mana ianya dijalankan hanyalah untuk memupuk semangat kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai isu pembalakan yang berlaku di kawasan terbabit. 

Oaxaca adalah salah satu negeri di dalam Mexico yang mempunyai masalah pembalakan yang sangat tinggi di mana mereka telah menebang banyak pokok sehingga ianya mencacatkan pemandangan. 

Setelah selesai upacara perkahwinan, wanita-wanita terbabit juga turut menanam pokok yang baru sebagai simbol untuk menyelamatkan alam sekitar. 

Richard Torres iaitu salah seorang ketua yang mewakili aktivis ini berkata bahawa sepatutnya kerajaan yang bertanggungjawab di atas isu pembalakan ini namun sekarang ianya tidak diendahkan oleh mereka. 

Oleh sebab itulah, aktivis-aktivis ini bertindak sedemikian bagi menyelamatkan alam semula jadi supaya dengan usaha mereka itu pihak kerajaan akan kembali sedar. Sumber: Mynewshub, Editor: Iera