Wartawan Disamun, Beg Tangan Dilarikan Serta Luka Di Tangan Dan Muka


Seorang wartawan berbahasa cina, Lee Pei Pei daripada akhbar Kwong Wah Yit Poh di Pulau Pinang menjadi mangsa samun di Taman Impian Indah, Machang Bubok, Bukit Mertajam pada Isnin, 26 Februari.

Kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa luka di bahagian lengan dan lebam di muka kerana bergelut dengan dua orang penyamun tersebut dalam usaha menyelamatkan begnya.

Dalam kejadian tersebut beg tangan milik Pei Pei berjaya dilarikan oleh dua orang penyamun terbabit.

Ketika kejadian berlaku, Pei Pei dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya untuk keluar makan tengahari namun ketika memandu kenderaannya penyamun tersebut menghampiri mangsa dengan menaiki sebuah motosikal.

Salah seorang daripada dua penyamun tersebut telah memecahkan cermin tingkap di tempat duduk penumpang bahagian depan secara tiba-tiba dengan menggunakan sebatang besi yang diubah seuai dengan palam pencucuh dan mencapai beg tangan mangsa.

Mangsa cuba untuk menghalang tindakan penyamun tersebut untuk menyelamatkan beg tangannya namun suspek bertindak menumbuk mukanya menyebabkan lebam di bahagian mata dan mengalami luka di tangan.

Menurut Pei Pei barang yang berjaya dilarikan dalam beg tersebut termasuk dua telefon pintar jenama iPhone dan Oppo selain duit ‘ang pow’ kira-kira RM3,000.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan. Sumber:Astro Awani , Editor:Farhana