Gara-Gara Langgar Lari, Lelaki Nekad Tanam Kereta Belakang Rumah


CHINA: Oleh kerana ingin mengelakkan dirinya ditangkap polis gara-gara melakukan kesalahan langgar lari, seorang lelaki nekad menanam kereta miliknya di belakang rumah kerana ingin menghapuskan bukti.

Dalam pada masa yang sama, lelaki terbabit yang tidak didedahkan identitinya itu juga turut membuang peralatan lain yang digunakan untuk menggali itu ke dalam sungai yang berdekatan untuk mengelakkan perbuatannya itu dihidu pihak berkuasa.

Namun, segala-galanya telah terbongkar selepas pihak polis berjaya menemui kereta terbabit yang tertanam itu setelah menerima laporan mengenai kes tersebut.

Bagaimana pun, lelaki terbabit dikatakan telah melarikan diri selepas siap menanam keretanya namun dengan tindakan pantas pihak polis, dia akhirnya berjaya juga ditangkap.

Kejadian langgar lari terbabit dipercayai berlaku apabila dia telah melanggar seorang pejalan kaki serta dua orang penunggang basikal elektrik di sekitar kawasan pendalaman iaitu Dali.

Mangsa yang dilanggar itu dikatakan telah mengalami kecederaan parah apabila tubuhnya mengalami keretakan sehingga dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Kejadian tersebut juga turut dirakam di mana pihak polis telah menggunakan rakaman tersebut serta sebahagian bumper keretanya untuk mengesan lokasi mangsa.

Selain itu, pihak polis juga turut meminta pertolongan pemimpin masyarakat di kawasan setempat bagi mengesan suspek.

Bapa kepada suspek memberitahu bahawa dia ada menyuruh anaknya itu untuk menyerahkan diri namun dia takut jika dia bakal dikenakan hukuman yang berat.

Tetapi pada akhirnya, dia berjaya juga menyerah diri dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. Sumber: Harian Metro, Editor: Sara