Khamis, 15 Mac 2018

Mayat Nelayan Yang Lemas Berjaya Ditemui


SEKINCHAN: Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang telah berjaya ditemui di perairan Pasir Panjang, pada jam 9.40 pagi tadi.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Shahrul Naim Mohamad Sukor, 38, itu dipercayai telah hilang sejak hari Isnin yang lepas apabila dia dikatakan keluar memancing secara berseorangan.

Pihak Bomba dan Penyelamat yang dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa itu telah berjaya menemui mangsa yang terapung kira-kira 20 kilometer dari Pantai Redang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Abu Bakar, pihaknya sebelum itu telah menggerakkan semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mayat mangsa sekitar jam 8 pagi ini.

“Kita terpaksa menangguhkan pencarian pada jam 8 malam semalam kerana sudah gelap."

“Pagi ini, empat anggota diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Tengku Muhammad Iqbal Tengku Abu Bakar menggunakan bot penyelamat menyusuri perairan berkenaan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, pencarian mangsa itu telah berjaya dibantu oleh enam nelayan tempatan bersama tiga bot untuk memudahkan dan menyegerakan penemuan mangsa. 

Bagaimana pun, mangsa yang dipercayai berasal dari Kampung Tali Air Enam, berjaya ditemui dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis pada jam 10.40 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat. Editor: Sara