Selasa, 13 Mac 2018

Pegawai AADK Hampir Dilibas Pedang Samurai Ketika Penangkapan Penagih Dadah


Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung telah membuat serbuan di sebuah rumah di Simpang Dua, Sitiawan pada pagi tadi.

Dalam serbuan terbabit pegawai dan anggota AADK yang terlibat hampir dilibas dengan pedang samurai oleh seorang penagih dadah.

Serbuan tersebut di buat pada jam 7 pagi ketika suspek, 35, yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin itu sedang tidur.

Ketika penangkapan sedang dibuat, suspek yang tidur bersama beberapa bilah senjata tajam seperti pedang samurai, pisau rambo dan pisau dapur biasa secara tiba-tiba suspek bertindak agresif.

Ketika anggota AADK mahu menangkapnya, suspek membuka sarung pedang samurai disyaki untuk melibas anggota bertugas namun cubaannya itu tidak sempat apabila anggota terlibat dapat membaca gerak geri suspek berjaya menangkap suspek . 

Dilaporkan tiada kecederaan berlaku semasa penangkapan suspek kerana anggota AADK berjaya menghalang suspek daripada melibas pedang samurai tersebut.

Suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sejak 10 tahun lalu dan tangkapan tersebut dibuat berdasarkan aduan orang awam dan juga risikan pihak AADK. 

Senjata tajam berkenaan turut dirampas dalam serbuan tersebut. Menurut suspek dia menyimpan senjata itu sebagai hobi.

Pegawai AADK berkata mereka turut menahan seorang suspek berusia 17 tahun yang juga dipercayai terlibat dengan najis dadah di Kampung Deralik pada jam 8 pagi tadi.

Menurut pegawai AADK remaja itu baru berjinak-jinak dalam aktiviti penagihan dadah dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methampheatamine.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. Editor:Anna