Selasa, 13 Mac 2018

Perokok Tegar Derita Kanser Mulut Terpaksa Potong Lidah


Umum mengetahui rokok mempunyai keburukan namun masih ramai yang tidak dapat membuang tabiat buruk merokok itu.

Seperti yang kita sering lihat dan dengar ramai yang menderita sakit akibat rokok samada kepada perokok tersebut ataupun orang sekeliling. Namun tetap ada yang masih berdegil dan meneruskan tabiat itu hingga ke hari ini.

Kebiasaan perokok ini mula berjinak-jinak dengan rokok ketika berada di bangku sekolah kerana di pengaruhi oleh rakan sebaya.

Terdapat satu kisah yang mahu dikongsikan kepada pembaca supaya dapat mengambil pengajaran dan juga iktibar ke atas insiden yang berlaku di mana individu tersebut terpaksa menjalani liku-liku kehidupan yang agak sukar kerana menderita kanser mulut.

Muhammad Faid mula mendekati rokok Ketika umurnya 17 tahun dan setiap hari akan menghabiskan lima batang rokok bersama rakan sebayanya.

Apabila umurnya menginjak 25 tahun dia menerima satu berita di mana membuatkan dunianya hampir gelap kerana disahkan menghidap kanser mulut dan terpaksa mendapatkan rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Doktor mengesahkan punca kanser itu adalah kerana tabiat rokoknya yang diamalkan sejak dulu.

Muhammad Faid merupakan graduan Pendidikan di sebuah universiti berkata tanda awal penyakit ini adalah masalah ulser di bahagian lidah kiri.

Walaupun sudah dinasihatkan berulang kali agar memberhentikan tabiat buruk tersebut namun tidak diendahkan kerana menganggap rokok tidak menyakitkan.

Ibu kepada Faid, Anita, 52 berkata luka-luka yang dialami Faid pada awal tahun lalu tidak hilang begitu sahaja malah makin teruk.

Pada tahun lalu, kanser yang dihidapi Faid berada di tahap 1 dan 2 pada bulan Februari dan naik ke tahap 3 apabila memasuki bulan Mei.

Antara bulan Mei dan November lalu Faid sering mengalami pendarahan yang teruk sebanyak empat kali berpunca dari bahagian rongga lidahnya.

Doktor terpaksa memotong bahagian lidah Faid pada Mei lalu serta menghasilakan semula lidahnya dengan menggunakan sedikit kulit dari paha dan kini dia boleh bercakap walaupun tidak lancar seperti dahulu.

Namun apa yang menyedihkan adalah Faid tidak boleh makan seperti biasa dan terpaksa bergantung dengan makan menerusi tiub dan bahagian lehernya ditebuk bagi memudahkannya untuk bernafas.

Kepada perokok tegar di luar sana jadikan kisah Muhammad Faid sebagai pengajaran. Sebelum terlambat lebih baik anda berhenti sekarang kerana mencegah lebih baik dari merawat. Editor:Anna