Rabu, 14 Mac 2018

Pistol Penyamun Tercicir Ketika Melarikan Diri


Seorang Juru Teknik mendakwa disamun oleh dua orang lelaki menggunakan senjata menyerupai pistol di kedai makan di Batu 11, Kajang, pagi kelmarin kira-kira jam 4.00 am.

Mangsa yang bernama Tan Ching Keong, 34 sedang makan di kedai tersebut bersama rakannya tiba-tiba didatangi tiga orang lelaki yang menaiki dua motosikal.
Salah seorang daripada mereka datang ke arah mangsa lalu mengacukan senjata menyerupai pistol.

Suspek meminta beg yang dibawa mangsa namun mangsa enggan memberi beg tersebut lalu suspek bertindak merampas beg berkenaan dan cuba melarikan diri.

Ketika suspek cuba melarikan diri, senjata yang menyerupai pistol milik suspek terjatuh dan mangsa mengesyaki senjata itu adalah mainan sahaja.

Mangsa yang marah dengan kejadian itu bertindak memukul suspek menggunakan kerusi namun mereka sempat melarikan diri bersama beg mangsa yang disamun.

Dipercayai dalam beg berkenaan terdapat empat telefon bimbit di mana tiga milik pelanggan untuk di baiki dan satu adalah kepunyaannya.

Terdapat juga barang lain seperti kad ATM, wang tunai, kad kredit serta kunci kenderaan di dalam beg terbabit.
Pihak polis sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. Sumber:Harian Metro , Editor:Anna